Data Ekonomi Australia Menekan Dagangan Aussie, Isu Perang Dagang Masih Belum Reda

348

Dolar USD didagangkan stabil pada permulaan sesi pasaran Asia hari ini sementara dolar Australia jatuh ke paras terendah empat bulan dengan pelabur menantikan data ekonomi China dan Eropah untuk mendapatkan isyarat bagi mengukur tahap kesihatan pada ekonomi global.

Kestabilan pada dagangan dolar Amerika Syarikat adalah disokong oleh faktor dua ekonomi gergasi dunia iaitu Amerika dan China masih akan meneruskan rundingan dagang walaupun situasi dilaporkan tegang selepas kedua-dua saling berbalas serangan tarif.

Selain terkesan oleh sentimen perang dagang, Aussie pada sesi Asia hari ini terus mendapat tekanan daripada data sentimen pengguna tinjauan Westpac yang rendah. Indeks harga gaji untuk suku tahun pertama 2019 di Australia juga tidak mencapai jangkaan 0.6% oleh pasaran sebaliknya kekal 0.5% seperti sebelum ini.

Sesi Eropah akan menantikan laporan pertumbuhan GDP Jerman dan akan mempengaruhi dagangan Euro. Euro semalam terus mengalami penurunan setelah data sentimen ekonomi Jerman tinjauan ZEW mencatatkan angka yang merosot jauh meleset berbanding jangkaan peningkatan oleh pasaran.

Sesi New York malam nanti pula akan tertumpu pada data inflasi di Kanada. Jangkaan data berkemungkinan menurun dan memberi tekanan pada dagangan Loonie. Turut dikeluarkan bersama adalah data jualan runcit di Amerika Syarikat dengan jangkaan angka yang turut menurun berbanding bacaan sebelumnya.

Dagangan Sterling pula telah mencecah ke paras terendah dua minggu pada Selasa selepas data pekerjaan UK menunjukkan pertumbuhan gaji untuk suku tahunan penghujung Mac lebih rendah berbanding jangkaan, memberi isyarat potensi pergolakan ekonomi bakal berlaku.

Matawang safe-haven Yen masih lagi dilihat menjadi pilihan pelabur dalam pasaran dengan risiko pada rundingan dagang AS-China masih lagi belum reda sepenuhnya. Pasaran juga tidak mengendahkan komen optimis Presiden Donald Trump yang seakan mahu meredakan sementara ketegangan ekoran China juga mengumumkan akan turut membalas tindakan kenaikan tarif terhadap barangan Amerika Syarikat.

Perkembangan rundingan dagang akan terus dipantau pelabur dari masa ke masa dengan jangkaan pasaran masih lagi berada dalam keadaan berisiko.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat