Data inflasi Kanada yang diterbitkan pada sesi New York semalam mencatatkan bacaan angka yang sedikit menurun bagi bulan Jun lebih rendah berbanding jangkaan penurunan.
Namun begitu, dolar Kanada kekal bergerak kukuh khususnya berbanding US dolar yang turut disokong oleh sentimen pasaran minyak mentah global.
Harga minyak diunjur untuk bergerak stabil selepas data inventori minyak Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kejatuhan memberi isyarat permintaan bahan bakar yang akan meningkat.
Pada carta harga pasangan mata wang USD/CAD, dapat diperhatikan kenaikan harga yang berlaku terhalang pada paras rintangan 1.26000 seteklah diuji beberapa kali minggu ini termasuk pada sesi New York semalam.
Gagal melepasi ke paras lebih tinggi, harga telah menjunam sehingga ke paras 1.25200 sehingga dagangan ke penghujung sesi.
Bersambung pada sesi Asia pagi ini (Khamis), harga mendatar di paras 1.25200 sebelum meneruskan penurunan lebih rendah ke paras 1.24800 memasuki awal dagangan sesi Eropah.
Dengan faktor penyusutan US dolar selepas mesyuarat FOMC awal pagi ini dan aspek positif pergerakan dolar Loonie, harga dijangka akan terus membuat penurunan lebih rendah sebelum dagangan minggu ini berakhir.
Paras sokongan pada 1.24000 bakal menjadi tumpuan terbaru yang akan diuji sekaligus mencatatkan paras terendah harga untuk tempoh 3 minggu.
Walaupun begitu, pelabur tidak boleh mengabaikan kemungkinan untuk harga membuat kenaikan semula jika sentimen pasaran berubah.
Untuk situasi kenaikan harga, paras rintangan 1.26000 akan terus diuji dan sekiranya harga berjaya lepasinya, paras tumpuan harga seterusnya dilihat pada sekitar 1.26700.
Kemudiannya, sasaran kenaikan yang lebih tinggi akan kembali terarah pada zon rintangan 1.27800 yang dicapai pada awal minggu lepas.
Lihat gambar carta pasangan mata wang USD/CAD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.