Debaran Menanti NFP, Apa Jadi Pada Pergerakan Semasa Pasaran?

801

Pelabur mula berhati-hati sementara menantikan penerbitan laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat dengan mengehadkan pergerakan mata wang dalam pasaran sesi Eropah.

Berbanding sekumpulan mata wang utama, US dolar kekal didagangkan mendatar di sekitar paras terendah satu bulan.

Data pekerjaan ADP yang diterbitkan pada Khamis menunjukkan pasaran buruh dalam sektor swasta AS hanya meningkat sebanyak 128,000 pada bulan Mei, meleset daripada jangkaan untuk pertambahan 300,000 dan juga menandakan catatan terendah sejak pandemik Covid-19 bermula.

Hal ini menyebabkan pasaran mulai bimbang bahawa data NFP yang diterbitkan pada sesi New York akan menunjukkan pertumbuhan serupa dan mungkin mempengaruhi keputusan Federal Reserve (Fed) untuk meneruskan pengetatan dasar yang agresif.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya dilihat bertambah baik selepas OPEC dan sekutunya bersetuju untuk menaikkan pengeluaran minyak mentah serta tidak akan mengecualikan Rusia daripada perbincangan penetapan kuota pada masa hadapan.

Keputusan tersebut membantu meredakan kebimbangan pasaran terhadap bekalan minyak mentah yang semakin ketat dan lonjakan harga tenaga yang ketara sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kebanyakan mata wang utama mempamerkan pergerakan mendatar berikutan kewaspadaan pelabur menjelang pengeluaran data NFP, menyaksikan euro kekal berlegar di sekitar paras ketinggian satu bulan.

Perdagangan mata wang pound juga berkurang memandangkan pasaran kewangan di UK ditutup pada hari ini sementara cuti Jubli Perak Ratu Elizabeth II.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat