Debaran Menantikan Belanjawan 2021 Diluluskan

194

Bursa Malaysia dibuka dengan prestasi bercampur-campur hari ini memandangkan pelabur tidak memasuki pasaran menjelang pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar yang akan diadakan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 9.02 pagi, indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.68 mata kepada 1,593.90 daripada 1,597.58 ketika ditutup semalam.

Bernama melaporkan, indeks itu dibuka 0.11 mata lebih tinggi kepada 1,597.69 namun susut kemudiannya.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 220 berbanding 121 manakala 1,454 kaunter tidak berubah, 383 kaunter tidak diniagakan dan 333 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.20 bilion saham bernilai RM446.92 juta.

Penganalisis berkata sesi pagi ini akan kekal tidak memberangsangkan memandangkan tumpuan hari ini adalah pada pukul 2 petang di Parlimen.

“Malaysia telah berada di landasan pemulihan ekonomi namun tanpa belanjawan diluluskan, ia akan menjejaskan sentimen pasaran sehingga belanjawan baharu dirangka dan diluluskan kemudian.

“Ini juga memberikan lebih tekanan ke atas pendapatan semasa tempoh mencabar ini kerana penjawat awam bergantung kepada belanjawan untuk gaji mereka, termasuk (bantuan) kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Belanjawan 2021 diluluskan petang ini, ekuiti tempatan berpeluang cerah untuk mengalami lonjakan setelah Indeks Pelopor (LI) menunjukkan peningkatan kukuh pada September.

Menurut MIDF Investment, LI negara meningkat kepada 8.6 peratus tahun ke tahun pada September 2020 daripada 7.6 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ini menjadi pertumbuhan positif bagi bulan kelima berturut-turut yang menunjukkan ekonomi Malaysia kekal pada landasan pemulihan dengan aktiviti ekonomi domestik kembali rancak walaupun menghadapi impak yang mencabar,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya, prestasi lebih kukuh indeks itu didorong terutamanya oleh import sebenar semikonduktor khususnya litar bersepadu elektronik, dan beberapa syarikat baharu berdaftar sebahagian besarnya dalam sektor perdagangan borong dan runcit.

Di Bursa Malaysia, saham berwajaran tinggi Public Bank susut 30 sen kepada RM18.62, Press Metal turun 13 sen kepada RM6.27, Sime Darby Plantation kurang enam sen kepada RM5.13 dan Maybank menguncup tiga sen kepada RM8.19.

Antara saham aktif, Vivocom turun 14 sen kepada 71.5 sen, AT Systematization meningkat 1.5 sen kepada 18.5 sen dan Saudee tidak berubah pada 52 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 5.81 mata pada 11,446.24, Indeks FBMT 100 turun 7.94 mata kepada 11,221.92, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 14.37 mata kepada 13,138.23, dan FBM 70 menokok 60.23 mata kepada 14,600.20.

FBM ACE merosot 29.04 mata kepada 10,550.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.30 mata kepada 158.31, Indeks Perladangan susut 31.07 mata kepada 7,282.46 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.05 mata kepada 14,226.36.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat