Debaran Pasaran Berteka-teki Keputusan Laporan Data Pekerjaan NFP Malam Esok

614

Dolar Amerika Syarikat bergerak mendatar dengan debaran pelabur semakin terarah kepada laporan data pekerjaan NFP pada malam esok. Laporan pekerjaan seperti yang diketahui umum seringkali mempamerkan pergerakan besar harga sejurus data tersebut dikeluarkan.

Laporan pekerjaan NFP kali ini dijangka akan memberikan impak yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ini adalah kerana faktor kapasiti pemain pasaran adalah rendah dalam pasaran berikutan ramai pelabur dan pedagang yang bercuti hujung minggu bermula hari ini. Ia adalah cuti hujung minggu yang popular untuk percutian musim panas dan akan menyebabkan posisi besar dalam pasaran akan berkurangan.

Laporan pekerjaan NFP kali ini dilihat penting disebabkan pada bulan lalu, Federal Reserve memberi isyarat bahawa bank pusat semakin hampir untuk menurunkan kadar faedah namun bagaimana pantas tindakan penurunan kadar adalah berdasarkan kepada data.

Jika data pekerjaan dilihat lemah berbanding jangkaan, pasaran berkemungkinan akan segera menyerap jangkaan penurunan kadar untuk mesyuarat Julai seterusnya memperlihatkan kejatuhan ketara pada nilai matawang dolar Amerika.

Walau bagaimanapun, faktor yang menyokong dagangan dolar daripada terus menurun adalah berikutan jangkaan pertumbuhan pekerjaan yang akan sepatutnya pulih pada bulan ini, didorong oleh komen positif oleh ahli penggubal undang-undang Fed iaitu Presiden Bullard.

Laporan data pekerjaan ADP NFP untuk sektor swasta yang dikeluarkan semalam mencatatkan kenaikan yang sedikit rendah berbanding jangkaan pasaran.

Selain kadar pertambahan pekerjaan, komponen penting yang menjadi tumpuan pelabur dalam laporan adalah kadar pengangguran dan juga purata pendapatan.

Turut akan dikeluarkan bersama pada laporan pekerjaan NFP AS malam esok adalah laporan pekerjaan di Kanada.

Dagangan Loonie masih lagi disokong oleh kenaikan pada harga minyak mentah selain data imbangan dagangan yang menunjukkan lebihan dagangan melebar pada bulan Mei ekoran kenaikan pada kadar eksport.

Sesi pasaran Asia hari ini melihatkan dagangan dolar Australia menunjukkan kenaikan setelah data jualan runcit Australia dikeluarkan. Bacaan data meningkat untuk bulan Mei kepada 0.1% berbanding bulan sebelumnya yang menurun kepada -0.1%, namun kenaikan tidak mencapai jangkaan 0.2% oleh pasaran.

Data imbangan dagangan Australia yang dikeluarkan semalam positif dilihat akan membantu dagangan Aussie, namun lonjakan harga sedikit diganggu oleh data PMI perkhidmatan tinjauan Caixin di China yang mencatatkan bacaan sedikit lemah untuk bulan lalu.

Berhubung perkembangan perdagangan global, setelah ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China kembali reda semula, namun sentimen pasaran dijejaskan pula oleh risiko ancaman tambahan tarif oleh Washington terhadap barangan import Eropah membuatkan pelabur kembali berwaspada.

Situasi ini kembali memberikan kelebihan terhadap dagangan safe-haven terutamanya Yen yang mendapat permintaan dalam keadaan sentimen pasaran yang berisiko.

Faktor tersebut turut memberi kesan terhadap dagangan dolar Euro. Euro sebelum ini disokong oleh laporan oleh media pada Selasa yang menyatakan European Central Bank (ECB) tidak tergesa-gesa untuk memotong kadar faedah pada mesyuarat Julai ini.

Namun, matawang Eropah itu kembali menerima tekanan apabila Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde, seorang yang dikenali berpendirian polisi lebih dovish, dicalonkan sebagai pengganti kepada Presiden ECB Mario Draghi.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat