Defisit Dagangan Jepun Mencanak Angkara Sekatan Tenaga Rusia

316

‘Sampai ke benua Asia terasa kesan sekatan tenaga Rusia.’

Laporan terbitan kerajaan Jepun memperlihatkan defisit dagangan negara matahari terbit tersebut meningkat untuk bulan ke-11 berturut-turut pada Jun.

Meneliti laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Jepun, bagi separuh pertama 2022 defisit dagangan melonjak ¥7.9 trilion atau kira-kira $57 bilion ekoran peningkatan harga tenaga global selain penyusutan nilai Yen.

Diperincikan bahawa defisit import Jepun mencanak 37.9% berbanding tahun lepas pada ¥53.9 trilion selepas negara yang kekurangan sumber asli tersebut terpaksa membayar lebih bagi mendapatkan minyak mentah dan arang batu.

Suka untuk diingatkan bahawa harga tenaga global sedang memuncak rentetan daripada sekatan yang dikenakan terhadap Rusia atas insiden pencerobohan Ukraine.

Jelas kementerian berkenaan peningkatan tersebut, import minyak mentah dan arang batu terus mencatat lonjakan ketara dalam tempoh setengah tahun disebabkan kenaikan harga sumber.

Tambahnya lagi, defisit dagangan tersebut berlarutan setahun selepas ia jatuh ke tahap merah pada separuh ke-2 2021 dan bagi bulan Jun sahaja Jepun mencatat defisit 11 bulan berturut-turut sebanyak 1.4 trilion.

Selain itu, ahli ekonomi Takeshi Minami pula berpendapat pendirian dovish Bank Pusat Jepun (BOJ) telah mendorong Yen jatuh ke paras terendah 24 tahun berbanding dolar sehingga menjadikan import lebih mahal.

Ulasnya, data pamerkan lonjakan dalam penghantaran yang masih didorong oleh faktor tolakan kos dan bukanya permintaan domestik dan perkara ini dari sudut pandangan BOJ bermakna mereka perlu melakukan pelonggaran dasar.

Sementara itu, eksport Jepun juga dilihat meningkat 15.2% pada ¥45.9 trilion iaitu rekod tertinggi untuk tempoh separuh tahun sejak 1979.

Bagi asas bulanan pula, import Jepun mencanak 46.1% pada ¥10 trilion sementara eksport menokok 19.4% pada ¥8.6 trilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, ahli ekonomi Yuki Masujima berpendapat bahawa bulan Julai keadaan akan mereda sedikit.

Hujah tersebut disokong Masujima dengan menyatakan bil import mungkin meningkat pada kadar perlahan ekoran harga komoditi yang mereda rentetan daripada pembukaan semula Shanghai daripada langkah penutupan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat