Do Kwon Berdepan Tuntutan Mahkamah $57 Juta Di Singapura!

183

Do Kwon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terraform Labs dan co-founder dikenakan tindakan mahkamah di Singapura susulan terdapat 350 pelabur antarabangsa didakwa telah kehilangan $57 juta semasa ekosistem TerraUSD (UST) mengalami kejatuhan.

Secara konteks, stablecoin UST berfungsi sebagai pelindung turun naik pasaran mata wang kripto yang telah disandarkan 1:1 kepada Dolar Amerika Syarikat (AS), namun sebaliknya berlaku apabila Terra menghadapi kemerosotan drastik.

Difahamkan bahawa Kwon tetap menggalakkan para pelabur membeli aset digital tersebut walaupun beliau mengetahui ekosistemnya mempunyai struktur yang lemah.

Rentetan itu, kebanyakan pelabur berhasrat menuntut balik kerugian yang dialami semasa membuat pembelian token UST bernilai ratusan ribu dolar, antaranya seorang warganegara Sepanyol Julian Moreno dan warga Singapura Douglas Gan Yi Dong yang kehilangan $1.1 juta TerraUSD.

Manakala, defendan dalam tuntutan mahkamah tersebut adalah Terraform Labs PTE Ltd, bekas ketua penyelidikan syarikat Nicholas Platias dan Luna Foundation Guard (LFG).

Namun begitu, jurucakap Terraform Labs menyangkal dakwaan tersebut sekeras-kerasnya dengan mengatakan bahawa para pelabur seharusnya dapat membezakan antara pasaran awam atau penipuan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Korea selatan turut mengeluarkan waran tangkap dan membatalkan passport Kwon susulan melanggar akta pasaran modal negara tersebut.

Diperjelaskan lagi, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) telah menyiasat semula jika syarikat tersebut melanggar peraturan perlindungan pelabur persekutuan dengan memasarkan UST.

Sehingga kini lokasi Kwon masih tidak dikenal pasti walaupun terdapat pelbagai penyiasatan berkaitan Terra, malah beliau turut menafikan pertuduhan yang dilemparkan kepadanya dengan menyebut bahawa dirinya sendiri mengalami sejumlah kerugian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat