Donald Trump Sekat Pelaburan AS Dalam Firma China

508

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan arahan melarang pelaburan warga Amerika dalam firma China yang didakwa mempunyai kaitan dengan tentera Beijing.

Trump mendakwa China mengeksploitasi para pelabur AS bagi membiayai pembangunan dan pemodenan ketenteraan negara itu.

Larangan itu dilaporkan berkuatkuasa pada Januari kelak.

Menurut Reuters, larangan itu berkemungkinan akan menjejaskan beberapa firma China yang disenaraikan dalam bursa saham termasuklah China Telecom dan Hikvision.

Para pegawai AS memaklumkan arahan baharu itu telah diteliti selama beberapa bulan. Arahan itu meliputi pegangan saham yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung di 31 buah firma yang dikenal pasti oleh AS awal tahun ini.

Para pelabur AS diberikan tempoh selama setahun untuk mematuhi arahan terbabit.

Trump yang baru-baru ini kalah dalam pilihan raya Presiden kepada pencabarnya, Joe Biden, akan melepaskan jawatannya sejurus selepas arahan itu berkuatkuasa.

Sepanjang pemerintahannya, Trump telah berusaha untuk melepaskan AS daripada menjalinkan hubungan ekonomi dengan China.

Antara langkah yang dibuat oleh beliau ialah menaikkan cukai sempadan terhadap barangan China bernilai berbilion dolar dan mengenakan sekatan terhadap beberapa syarikat teknologi China.

Hubungan kedua-dua negara dilihat makin tegang ekoran beberapa isu yang belum diselesaikan seperti coronavirus dan tindakan Beijing di Hong Kong.

Biden ketika ini masih belum mengumumkan strateginya terhadap China tetapi sewaktu kempen pilihan raya, beliau berjanji akan mencabar kerajaan China berhubung isu yang sama seperti Trump termasuklah perdagangan dan kecurian siber.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat