Draghi Kejutkan Pasaran Semalam, Ketegangan Perang Dagang AS-China Sedikit Reda

422

Dolar Amerika Syarikat diniagakan di sekitar paras ketinggian dua minggu pada awal dagangan hari ini menjelang keputusan polisi monetari dalam mesyuarat Federal Reserve pada awal pagi esok, disokong oleh kenyataan dovish oleh bank pusat Eropah yang mengejutkan dan juga data-data ekonomi zon Eropah yang lemah.

Indeks dolar berbanding matawang utama yang lain stabil di paras 97.615 selepas meningkat ke paras 97.766 pada Selasa, paras tertinggi sejak 3 Jun yang lalu.

Jangkaan pasaran bahawa Fed bakal mengekalkan kadar faedah untuk mesyuarat polisi kali ini dan terbuka untuk tindakan penurunan kadar faedah pada mesyuarat seterusnya di bulan Julai nanti.

Pasaran sudah mula menyerap harga untuk jangkaan penurunan kadar faedah pada Julai melainkan kejutan dovish pada mesyuarat FOMC. Komen Pengerusi Fed, Jerome Powell akan menjadi perhatian pasaran untuk gambaran berkenaan ekonomi dan harga.

Prospek penurunan kadar oleh bank pusat AS turut mendorong penanda aras bagi hasil perbendaharaan ke paras terendah dua tahun sementara melonjakkan harga-harga saham.

Dolar Euro menjunam pada dagangan sesi Eropah semalam terkesan oleh ucapan dovish oleh Gabenor European Central Bank (ECB), Mario Draghi dengan mengatakan bahawa bank pusat perlu melonggarkan lagi polisi jika sasaran inflasi masih gagal dicapai.

Bloomberg melaporkan jika tiada perubahan positif pada unjuran ekonomi, ECB melihat tindakan penurunan kadar adalah langkah utama untuk rangsangan baru dalam usaha untuk meningkatkan kadar inflasi.

Untuk data ekonomi, berdasarkan tinjauan oleh Institusi ZEW, keyakinan para pelabur di Jerman telah merosot pada Jun seterusnya menambahkan lagi tekanan buat dagangan semasa Euro.

Pound Sterling masih berlegar di sekitar paras terendah lima bulan selepas Boris Johnson disahkan sebagai calon utama bagi menggantikan jawatan Perdana Menteri Britain yang baru selepas pengunduran Theresa May sebagai pemimpin sebelum ini.

Matawang British tersebut telah mencatatkan penurunan ke paras terendah sejak Januari berbanding Euro dan USD ekoran kebimbangan pelabur terhadap keupayaan Johnson bertanggungjawab berdepan kemungkinan situasi Brexit tanpa sebarang perjanjian.

Matawang komoditi dolar Australia kekal diniagakan lemah dalam pasaran dengan jangkaan bahawa Reserve Bank of Australia (RBA) akan menurunkan kadar faedah sekali lagi.

Ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China yang berlarutan dilegakan sedikit pada Selasa selepas kedua-dua pihak akan kembali mengadakan rundingan pada minggu hadapan melibatkan Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Presiden Xi Jinping.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat