Dum! Perang Rusia-Ukraine Gemparkan Pasaran

442

Sentimen berisiko menguasai pasaran pada awal minggu mendorong US dolar mendapat kelebihan di tengah-tengah kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah dan ketegangan geopolitik yang meningkat.

Bacaan kukuh dalam data pekerjaan NFP Amerika Syarikat yang disiarkan pada Jumaat lalu telah menguatkan semula jangkaan pasaran untuk menlihat kenaikan 75 mata asas pada mesyuarat polisi November.

Pelabur kini menantikan terbitan data inflasi pengguna dan pengeluar AS pada hari Rabu dan Khamis bagi menentukan jangkaan seterusnya buat hala tuju monetari Federal Reserve (Fed).

Sementara itu pada hujung minggu, dunia digemparkan dengan satu letupan yang telah mencetuskan kebakaran besar dan merosakkan jambatan utama Kerch, satu-satunya penghubung darat antara Rusia dengan Crimea.

Bertindak balas kepada insiden tersebut, Moscow melancarkan serangan agresifnya dengan menghujani peluru berpandu ke atas bandar-bandar Ukraine pada Isnin menyebabkan sistem komunikasi dan tenaga terjejas teruk.

Ini sekali gus meletakkan pasaran dalam suasana berisiko menyebabkan kebanyakan mata wang utama didagangkan lebih rendah.

Dolar Aussie dan New Zealand kembali terperosok ke dasar terendah 2 setengah tahun dengan data yang lemah dari China menambah kesuraman buat dagangan kedua-dua mata wang sensitif risiko itu.

Selain itu, mata wang euro dan pound juga merosot semula ke sekitar paras terendah ekoran US dolar yang lebih kuat dan krisis tenaga yang semakin mencengkam Eropah.

Walaupun meningkat berbanding kebanyakan mata wang lain, tetapi yen lemah berbanding US dolar dengan pergerakan harga kembali menghampiri titik terendah 24 tahun yang disentuhnya bulan lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat