Dalam ucapan pengerusi Federal Reserve pagi tadi, Yellen mengatakan ekonomi US sedang menghampiri sasaran kestabilan harga dan gunatenaga penuh (full-employment) dan memerlukan The Fed mengurangkan polisi pelonggaran perlahan-lahan.
Dalam ucapannya di Stanford Institute for Economic Policy Research, beliau menyatakan adalah berisiko dan tidak cerdik jika kita membiarkan ekonomi terus berjalan/beroperasi sehingga ‘panas’.
Sehingga ‘panas’ di sini bermaksud, ekonomi juga seperti enjin kereta, ada kalanya enjin menjadi panas jika dipandu dengan laju dalam jangka masa yang lama. Begitu juga dengan ekonomi, ekonomi tidak boleh terlalu pantas meningkat kerana akan ada risiko yang lain menanti seperti peningkatan inflasi terlalu pantas.
Oleh sebab itu Yellen mengatakan, jika kita menunggu terlalu lama untuk menaikkan kadar faedah boleh menyebabkan inflasi meningkat dengan tidak terkawal dan menyebabkan harga barang menjadi mahal.
Bank pusat (Federal Reserve) sebelum ini telah menaikkan kadar faedah dari 0.50% kepada 0.75% dan ahli-ahli FOMC menjangkakan polisi akomodatif akan dikurangkan secara berperingkat pada 2017.
Ketika ini, pasaran akan tertumpu kepada pelantikan rasmi Trump sebagai Presiden US yang dijadualkan pada Sabtu sekitar pukul 11 malam hingga 1 pagi waktu Malaysia. Pasaran ketika ini akan memberi tumpuan kepada ucapan Trump khususnya dasar fiskal yang beliau janjikan sebelum ini.