Premium insurans perubatan di Malaysia dijangka naik mendadak antara 40% hingga 70% tahun depan, memberi tamparan hebat kepada ramai pemegang polisi.
Kenaikan ini didakwa akibat peningkatan kos rawatan di hospital swasta, yang bakal berkuat kuasa pada Februari 2025.
Menurut laporan FMT, seorang pemegang polisi mengeluh, premium bulanan beliau meningkat daripada RM188.47 kepada RM237.34, dan mempersoalkan kenapa premium naik setiap tahun tanpa bukti mahupun penjelasan yang kukuh.
Seorang lagi pemegang polisi terkejut dengan kenaikan RM133, dari RM244 kepada RM377 sebulan, dan mula mempertimbangkan untuk membatalkan polisi insurans mereka.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Jacob George, menuntut campur tangan kerajaan dan meminta syarikat insurans menunjukkan bukti kerugian jika mereka hendak menaikkan premium.
Beliau turut menggesa tindakan tegas supaya kenaikan ini tidak terus berlaku.
Dengan kenaikan mendadak ini, ramai yang mula mempertikaikan sama ada insurans perubatan masih relevan atau selepas ini hanya dikhususkan untuk golongan yang mampu sahaja?
Ini memunculkan persoalan besar, adakah kerajaan akan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan yang terus menderita dalam sistem kesihatan yang semakin mahal?