Pasaran minyak mentah paparkan lonjakan harian tertinggi dalam tempoh setahun berikutan kebimbangan Israel bakal menyerang kemudahan infrastruktur Iran sebagai tindak balas serangan peluru berpandu yang dilancarkan awal minggu ini.
Minyak mentah Brent didagangkan di bawah $78 per tong selepas melonjak sebanyak 5% pada dagangan Khamis apabila Presiden AS, Joe Biden membincangkan sama ada menyokong potensi serangan Israel ke atas pusat tenaga Iran.
Komoditi terkenal itu melonjak 8% pada minggu ini iaitu paling tertinggi sejak tahun lalu kerana peningkatan perang yang semakin menjejaskan bekalan minyak di Timur Tengah.
Sejak setahun lalu, perang di rantau Arab yang melibatkan Israel, Gaza, Iran, Lubnan dan Yaman kekal berterusan dan mencetuskan kebimbangan konflik yang berlarutan.
Ketua Ekonomi dan strategi Asia di Mizuho Bank, Vishnu Varathan berkata kebimbangan bahawa Israel akan menyasarkan keupayaan pengeluaran minyak Iran supaya serangan itu dapat membantutkan keupayaan Iran.
Walaupun harga telah melonjak, minyak berkemungkinan belum menetapkan harga tertingginya menjelang perang habis-habisan.
Sebelum ini, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke Israel awal minggu ini selepas Israel meningkatkan serangan terhadap Hizbullah termasuk menghantar tentera darat ke selatan Lubnan.
Peningkatan konflik tersebut turut meraih pandangan negara-negara G7 untuk situasi lebih terkawal dan bertanggungjawab.
Timur Tengah menyumbang kira-kira satu pertiga daripada bekalan minyak mentah dunia. Iran telah mengepam kira-kira 3.3 juta tong minyak mentah sehari dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan menjadikannya pengeluar ketiga terbesar dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Jika lonjakan besar harga minyak berterusan, ia boleh menyumbang kepada kebangkitan inflasi global dan mendorong bank-bank pusat mengurangkan kadar faedah.