Selepas 13 tahun tanpa semakan gaji penjawat awam, tumpuan 1.6 juta ‘tulang belakang’ kerajaan akan meneliti kenyataan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang berlangsung pada hari Jumaat.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengumumkan berhubung butiran pelarasan gaji penjawat awam semasa majlis tersebut.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengumuman mengenai perkara itu sebelum ia memberi gambaran ‘windfall’ kepada para penjawat awam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan penjawat awam dijangka menikmati kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sehingga 42.7 peratus.
Barangkali ia mungkin akan menjadi ‘durian runtuh’ paling manis sepanjang penganjuran MAPPA ini.
Pada sambutan Hari Pekerja Mei lalu, perdana menteri mengumumkan kenaikan lebih 13% dalam imbuhan penjawat awam yang merupakan yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Sementara itu, penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi mula berkumpul seawal jam 7 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tempat berlangsungnya MAPPA. Semuanya mengharapkan berita gembira. – Bernama