Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin disokong oleh penurunan Indeks Dolar AS (DXY) pada Jumaat lalu.
Pada jam 10.10 pagi, ringgit berada pada paras 4.4800 iaitu memulih 0.60% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.5055 pada penghujung Jumaat lepas.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid berkata DXY susut kepada 107.621 mata selepas melebihi 108 mata baru-baru ini.
Katanya lagi, data inflasi PCE November yang lebih lembut daripada jangkaan apabila merosot kepada 2.4% digabungkan dengan kebimbangan mengenai risiko penutupan kerajaan AS yang mendorong peniaga untuk mengambil keuntungan daripada dolar AS.
Ringgit boleh menunjukkan prestasi yang baik berbanding dolar AS hari ini kerana penjualan minggu lepas agak berlebihan.
Bagaimanapun, ringgit melemah berbanding mata wang utama lain.
Ia mengenepi lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8749/2.8809 daripada 2.8747/2.8779 pada Jumaat dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6578/5.6691 daripada 5.6328/5.6384. Ia juga susut berbanding euro, didagangkan pada 4.6959/4.7053 berbanding 4.6776/4.6823 sebelumnya.
Ringgit bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3201/3.3277 daripada 3.3146/3.3181 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.1199/13.1617 daripada 13.0670/13.0861.
Sebaliknya, ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/278.1 daripada 277.7/278.1 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.67 daripada 7.66/7.67. – Bernama