Ringgit menyusut ke paras yang lebih rendah selepas pertahankan kedudukan stabil sejak beberapa hari berikutan mata wang dolar AS mengukuh apabila Fed dijangka mengambil pendekatan secara beransur-ansur dalam melonggarkan dasar monetarinya.
Pada jam 10.00 pagi, ringgit berada pada paras 4.3210 iaitu susut 0.49% berbanding USD daripada ia ditutup 4.3045 hari Isnin.
Pelabur mengekalkan pendirian berhati-hati dengan condong ke arah aset selamat di tengah-tengah ketidaktentuan dalam prospek ekonomi.
Presiden Federal Reserve Bank of Minneapolis, Neel Kashkari membayangkan bahawa pemotongan kadar faedah akan diteruskan secara perlahan pada suku akan datang apabila Fed menghampiri kadar neutral.
Selain itu, ketegangan di Timur Tengah telah menyebabkan harga minyak mentah terus meningkat.
Indeks Dolar AS (DXY) meningkat kepada paras tertinggi 104.012 mata mencerminkan permintaan kukuh untuk dolar AS.
Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif di samping usaha penyatuan fiskalnya dengan menawarkan kes untuk ringgit yang lebih kukuh pada masa hadapan.
Anggaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) pendahuluan Malaysia untuk suku ketiga 2024 yang mencatatkan 5.3% menandakan negara berada di landasan untuk pertumbuhan kukuh tahun ini dan berpotensi ke tahun depan.
Sementara itu, pada awal dagangan, ringgit menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding beberapa mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8579/2.8685 daripada 2.8685/2.8724 dan mengukuh berbanding pound Britain, didagangkan pada 5.5890/5.6091 berbanding 5.6040/5.6112. Mata wang tempatan juga meningkat berbanding euro, berada pada 4.6553/4.6721 daripada 4.6687/4.6746.
Berbanding mata wang Asean, ringgit menunjukkan keputusan bercampur-campur.
Ia menambah nilai berbanding baht Thailand, didagangkan pada 12.8397/12.8948 daripada 12.8719/12.8945, dan berbanding dolar Singapura meningkat kepada 3.2692/3.2814 daripada 3.2776/3.2821.
Bagaimanapun, ia kekal hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia, kekal pada 277.6/278.7 berbanding 277.6/278.1 sebelumnya dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.48/7.51 daripada 7.48/7.49. – FMT