Ringgit melantun semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan hari ini selepas laporan keyakinan pengguna AS yang lebih lemah daripada jangkaan menjejaskan dolar AS, mengukuhkan naratif bahawa pelonggaran dasar monetari di Amerika Syarikat harus kekal utuh tahun ini.
Pada jam 9.50 pagi, ringgit berada pada paras 4.4130 berbanding mata wang USD daripada ia ditutup 4.4200 pada penghujung Selasa.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut kepada 106.308 mata manakala bon Perbendaharaan AS dua dan 10 tahun masing-masing susut enam dan sepuluh mata asas kepada 4.07% dan 4.30%.
Katanya lagi, ringgit boleh mendapat sedikit keuntungan dengan USD/MYR berkemungkinan berlegar sekitar RM4.40 hingga RM4.41 hari ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan lemah berbanding mata wang utama.
Ia jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.9597/9687 daripada penutupan Selasa 2.9552/9584, susut berbanding pound Britain kepada 5.5879/6044 daripada 5.5806/5863 dan jatuh berbanding euro kepada 4.6393/6530 daripada 4.6301/6348.
Mata wang tempatan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.
Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.64 berbanding 7.63/7.64 pada penutup semalam, lebih tinggi berbanding baht Thailand pada 13.0497/1005 daripada 13.1132/1324 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 269.3/270.2 daripada 270.40.
Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3014/3116 daripada 3.2997/3034. – Bernama