US dolar paparkan persembahan baik pada dagangan Jumaat lalu dengan kembali meningkat semula berbanding penyusutan nilai pada hari sebelumnya.
Menjadi tumpuan pada penghujung minggu itu, data PMI pembuatan dan perkhidmatan telah diterbitkan melibatkan bacaan untuk zon Eropah, UK dan juga Amerika Syarikat (AS).
Keseluruhan bacaan bagi laporan Februari dilihat agak bercampur untuk kedua-dua sektor utama ekonomi tersebut.
Memerhati bacaan untuk AS, sektor perkhidmatan merosot mencatatkan penurunan di bawah angka 50 yang menunjukkan isyarat bagi penguncupan, sementara bacaan bagi sektor pembuatan baik mengatasi ramalan.
US dolar kembali didagangkan lemah pada pembukaan sesi Asia pagi ini (Isnin) dengan tumpuan utama yang akan mempengaruhi mata wang itu pada minggu ini adalah indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna AS.
Data yang merupakan salah satu komponen inflasi itu turut menjadi perhatian Federal Reserve (Fed) dalam penetapan dasar monetari mereka.
Selain data ekonomi, pelabur juga akan berwaspada mengikut perkembangan isu-isu semasa yang boleh mempengaruhi sentimen pasaran.
Berkenaan rundingan perang Rusia-Ukraine yang telah diadakan di Arab Saudi minggu lalu, Presiden Donald Trump yakin konflik akan diselesaikan pada minggu ini setelah menghantar delegasi bertemu Rusia.
Pasaran juga menantikan perkembangan baharu perang tarif setelah beberapa minggu sebelum ini, Trump rancak mengumumkan tarif ke atas barangan import melibatkan pelbagai sektor.