EU Bakal Lancar Pakej Rangsangan Baru, Pasaran Dijangka Akan Terkesan?

409

Suruhanjaya Eropah dilaporkan akan melancarkan satu lagi pakej rangsangan coronavirus baru sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu pemulihan ekonomi Kesatuan Eropah (EU).

Cadangan mengenai pakej rangsangan tersebut dijangka akan dikemukakan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada hari ini, berdasarkan pelan Franco-German.

Pada minggu lalu, Jerman dan Perancis telah mengusulkan satu pelan untuk meningkatkan hutang bersama Eropah dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi Eropah yang dilanda pandemik coronavirus.

Penganalisis menjangkakan pakej rangsangan yang akan dikemukakan oleh von der Leyen hari ini, akan mendorong pengukuhan terhadap matawang euro.

Selain itu, ia juga dijangka akan mempengaruhi bon kerajaan, kerana risiko yang lebih rendah juga bermaksud pelabur akan menjadi lebih yakin untuk memberi pinjaman kepada negara-negara berhutang seperti Itali dan Sepayol, yang seterusnya dapat mengurangkan kos pinjaman.

Hasil bon ‘peripheral’, iaitu bagi negara Sepanyol, Portugal, Itali dan Greece berikutan hasil bon mereka yang lebih tinggi dan spread yang tidak menentu, telah bergerak lebih rendah pada bulan Mei. Malah, pada Selasa, hasil bon 10 tahun Itali menyusut ke paras terendah hampir 7 minggu.

Di bawah pakej tersebut, Suruhanjaya akan meminjam dengan lebih murah di pasaran dan kemudiannya memberikan sebahagian wang dipinjam, bukan meminjamkannya, kepada negara-negara yang sangat memerlukan.

Walaupun kebanyakan negara di Eropah telah menyatakan sokongan mereka terhadap pelan Franco-German, namun, empat negara anggota ini pula masih meraguinya. Pada Sabtu lalu, Austria, Belanda, Sweden dan Denmark menyatakan bahawa rangsangan baru tersebut sepatutnya dilakukan melalui pinjaman, bukannya pemberian.

Pakej rangsangan yang akan dikemukakan hari ini adalah sebagai tambahan kepada langkah rangsangan lain yang dipersetujui di peringkat EU. Bank Pusat Eropah (ECB), sebelum ini telah membeli bon kerajaan dan meninngkatkan pinjaman dan Eropah juga telah meluluskan pakej bantuan bernilai 540 bilion euro.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat