Perancis, Jerman Sepakat Cadang Pelan Pemulihan Ekonomi Eropah

257

Perancis dan Jerman dilaporkan telah mengusulkan cadangan bagi mewujudkan pelan pemulihan yang bernilai €500 bilion dalam usaha untuk memulihkan ekonomi Eropah daripada kesan pandemik coronavirus.

Rancangan pemulihan tersebut akan menyaksikan perbelanjaan belanjawan Kesatuan Eropah (EU) digunakan untuk menawarkan geran kepada negara-negara anggota dan sektor yang terjejas teruk.

Dalam kenyataan bersama, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel mengatakan mereka mencadangkan untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Eropah untuk meminjam wang di pasaran kewangan dengan menggunakan nama EU.

Cadangan ini secara tidak langsung meletakkan mereka selangkah lebih dekat dengan Eurobond, kerana jika ia diluluskan, langkah ini akan membenarkan EU untuk meningkatkan hutang bersama.

Presiden Macron yang menyifatkan inisiatif tersebut sebagai ‘langkah besar ke hadapan’, mengatakan bahawa ini adalah pertama kali kedua-dua negara mencadangkan agar EU untuk meningkatkan hutang bersama.

Dalam pada itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, menyambut dengan baik cadangan yang disifatkan konstruktif tersebut. Ia dikatakan sesuai dengan cadangan yang diusahakan oleh Suruhanjaya, di mana ia juga akan mempertimbangkan pandangan semua negara anggota dan Parlimen Eropah.

Sementara itu, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde turut memuji cadangan pelan pemulihan itu dengan mengatakan ia akan memberi manfaat yang besar kepada negara terjejas dan sekali gus menunjukkan solidariti ketika ekonomi dalam kemelesetan akibat wabak tersebut.

Dana pemulihan tersebut dijangka akan memberi manfaat kepada negara-negara anggota yang terjejas teruk akibat pandemik coronavirus, terutamanya Itali dan Sepanyol.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat