Euro Jatuh Dek Kebuntuan EU Dalam Perbincangan Dana Pemulihan Eropah

680

Pembukaan dagangan awal minggu sesi Asia memperlihatkan matawang euro jatuh dari paras ketinggian 4 bulan berbanding USD ketika perbincangan mengenai pelan dana pemulihan masih berlangsung.

Matawang itu pada mulanya dibuka tinggi, walaupun para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan masih gagal mencapai kesepakatan dalam perbincangan pelan pemulihan ekonomi di sidang kemuncak EU.

Memasuki hari ketiga perbincangan mengenai pelan €750 bilion itu berlangsung, para pemimpin EU dilaporkan masih buntu apabila sekumpulan negara-negara Eropah Utara yang kaya lebih menyokong perlaksanaan dana yang lebih kecil.

Selain itu, mereka turut berbelah bahagi mengenai bagaimana untuk menentukan dana pemulihan itu akan dibahagikan antara geran dan pinjaman yang dibayar semula.

Pemimpin dari Eropah Utara, termasuk Belanda, Austria, Denmark dan Sweden dilaporkan telah mencadangkan sebanyak €350 bilion untuk diperuntukkan ke atas geran, berbanding €400 bilion yang dicadangkan sebelum ini oleh Suruhanjaya Eropah.

Walau bagaimanapun, laporan mengenai Denmark yang dikatakan bersedia menerima cadangan untuk pemberian geran sebanyak €400 bilion telah mengangkat harapan pelabur untuk melihat kesepakatan dapat dicapai menyebabkan euro dibuka tinggi pagi ini.

Namun, dengan ketidakpastian mengenai perbincangan yang masih berlangsung itu, dagangan euro mula mencatatkan penyusutan dengan tumpuan masih terarah kepada perkembangan rundingan itu.

Euro diniagakan susut kepada $1.1415 daripada paras ketinggian 4 bulan berbanding USD, yang dicapainya pada Rabu iaitu $1.1452.
Dalam pada itu, dolar greenback didagangkan menguat berbanding sekumpulan matawang utama pada 96.17.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat