Facebook mengesahkan bahawa ia menutup dua aplikasi media sosialnya yang tidak dikenali sejurus selepas pelancarannya. Saingan TikTok yang dikenali sebagai Lasso dan pesaing Pinterest iaitu Hobbi akan ditamatkan pada 10 Julai.
Lasso, yang lebih popular di antara kedua-dua aplikasi tersebut, membolehkan individu merakam video berdurasi sehingga 15 saat dan memasukkan muzik ke dalam video tersebut. Ianya telah dilancarkan pada tahun lalu di sebahagian negara seperti Colombia, Mexico, Amerika Syarikat, Argentina, Chile, Peru, Panama, Costa Rica, El Salvador, Ecuador, dan Uruguay. Sehingga hari ini, Lasso telah mencatatkan lebih daripada 10 juta muat turun daripada App Store dan Google Play.
Tambahan daripada itu, syarikat media sosial gergasi tersebut didakwa berusaha untuk bersaing dengan TikTok, yang telah dimuat turun lebih dari 2 bilion kali, dengan menggunakan aplikasi Instagram miliknya, memperkenalkan filter campuran video-muziknya sendiri yang dikenali “Reels.”
Reels telah dilancarkan di Brazil pada November lalu dan Instagram memperluaskan penggunaannya ke Perancis dan Jerman pada akhir bulan lalu.
Seterusnya, pesaing Pinterest, iaitu Hobbi yang hanya disiarkan di Apple App Store di Amerika Syarikat pada bulan Februari, juga mengumumkan bahawa mereka akan ditutup. Aplikasi ini telah direka oleh pasukan Eksperimen Produk Baru Facebook, membolehkan orang mendokumentasikan, berkongsi dan mengatur hobi mereka. Namun ianya hanya merekodkan sebanyak 7,000 muat turun.