Sebelum ini Presiden AS Donald Trump telah menyeru syarikat tempatan yang mempunyai kilang di China supaya memindahkan semula perniagaan mereka balik ke negara asal. Jika perkara ini berlaku, pastinya banyak syarikat bakal mengalami kerugian termasuklah General Motors (GM), syarikat dari industri pembuatan kereta.
Meskipun kebanyakan untung yang diperolehi datang dari Utara Amerika, 43% dari jumlah jualan seluruh dunia datangnya dari China. Jika GM memilih untuk keluar dari China, potensi untuk berkembang pada masa hadapan akan hilang kerana mereka sudahpun menjual kilang operasi di bahagian Eropah.
Ini menjadi masalah buat GM kerana kawasan Utara Amerika tidak ada potensi untuk berkembang, berbeza dengan China yang merupakan pusat terbesar dunia dalam bidang automotif yang fokus kepada kelas pertengahan.
Trump memberi arahan tersebut sebagai respon kepada tindakan China yang menaikkan tarif barangan eksport mereka Jumaat lalu. Trump juga menyebut China telah mencuri wang mereka selama berpuluh-puluh tahun dan perkara ini harus dihentikan. Setakat ini, GM China telah menyumbang $2 bilion di dalam perusahaan itu.
Sebagai respon kepada arahan Trump, GM telah membuat satu kenyataan yang menyatakan sokongan terhadap hubungan dagang yang positif di antara kedua-dua buah negara dan menggesa untuk melibatkan dan meneruskan dasar perdagangan yang kukuh.
GM juga yakin dan percaya kedua-dua negara menghargai semangat di dalam industri automotif dan sedar mereka saling bergantung antara satu sama lain kerana mereka yang sedang mendominasi pasaran automotif dunia ketika ini.
Dalam pada itu, harga saham bagi GM jatuh $0.36 kepada $35.89. Penurunan hampir 1% itu dilihat berterusan sejak Jumaat lalu dan untuk bulan ini sahaja nilainya telah susut lebih daripada 12%.