Hangat Saham Syarikat Ini Di NYSE

685

Syarikat e-dagang gergasi Korea Selatan, Coupang disenaraikan dalam New York Stock Exchange (NYSE) semalam, sekali gus menjadikan pengasasnya iaitu Bom Kim sebagai hartawan.

Saham syarikat berkenaan melonjak ketika mereka memulakan sesi dagangan, menyaksikan saham Coupang bernilai lebih daripada AS$8.6 bilion.

Penyenaraian Coupang dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) merupakan yang paling terbesar oleh syarikat Asia sejak Alibaba pada 2014.

Meskipun syarikat tersebut masih mengalami kerugian, nilai perolehannya meningkat dua kali ganda pada tahun lalu susulan peningkatan pembelian atas talian berikutan pandemik Covid-19.

Harga saham Coupang melonjak sebanyak 41% ketika kemunculan pertamanya di NYSE dan merupakan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar AS sejak Uber pada 2019.

Coupang sering digelar sebagai Amazon Korea Selatan. Coupang yang disokong oleh syarikat multinasional Jepun, SoftBank berkata, firma itu akan memberi ganjaran sebanyak AS$90 juta kepada kakitangan gudang dan 15,000 pekerja penghantaran sepenuh masanya.

“Kami amat beruntung mempunyai permintaan daripada ramai pelabur hebat dan kami tidak mempunyai ruang untuk menampung ramai pelabur hebat di luar sana,” kata Kim yang juga merangkap Ketua Eksekutif Coupang.

Dilahirkan di Seoul, Kim berhijrah ke AS ketika remaja dan memiliki kerakyatan AS.

Selepas mengambil keputusan untuk berhenti belajar di School of Business Harvard, Kim kembali ke Korea Selatan dan menubuhkan Coupang pada 2010.

Coupang turut melabur dalam bidang perniagaan baharu seperti penghantaran makanan dan perkhidmatan penstriman.

Meskipun populariti Coupang melonjak, syarikat itu berdepan kritikan selepas timbul laporan kes kematian dalam kalangan kakitangan logistik dan penghantaran yang bekerja lebih masa.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat