Harga Jualan Merosot, Pendapatan Top Glove Diunjur Rendah

282

Penganalisis mengurangkan unjuran pendapatan mereka ke atas Top Glove Corp Bhd setelah mengambil kira purata harga jualan (ASP) yang rendah pada masa akan datang.

MIDF Research menerusi notanya hari ini, mengurangkan unjuran pendapatannya sebanyak 14.9% untuk tahun kewangan syarikat itu yang berakhir 31 Ogos 2021 (FY21) dan 30.9% untuk FY22.

Firma penyelidikan tersebut menjelaskan unjuran itu dibuat setelah mengambil kira ASP dan margin keuntungan yang lebih rendah memadangkan perubahan dalam dinamik penawaran-permintaan.

MIDF turut menjangkakan kenaikan kos operasi dalam tempoh masa sederhana berikutan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk meningkatkan lagi amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) Top Glove.

Firma terbabit mengunjurkan Top Glove akan merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM9.03 bilion untuk FY21 dan RM2.47 bilion bagi FY22.

Top Glove semalam mengumumkan keuntungan bersih yang direkodkan pada suku ketiga FY21 (3QFY21) susut 29.03% kepada RM2.04 bilion berbanding RM2.87 bilion yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Pendapatan syarikat itu susut 22.42% suku ke suku kepada RM4.16 bilion daripada RM5.37 bilion manakala perolehan sesaham (EPS) merosot kepada 25.44 sen berbanding 35.77 sen sebelum itu.

Pada pukul 10.17 pagi, saham Top Glove didagangkan 1.03% atau 5 sen lebih tinggi pada RM4.89.

Sambil mengekalkan saranan ‘beli’ untuk Top Glove, MIDF menurunkan harga sasarannya (TP) ke atas kaunter itu kepada RM5.73 berbanding RM8.29 sebelum ini.

“Hasil dividennya dianggarkan sebanyak 3.1% untuk FY22. Risiko terhadap jangkaan kami termasuklah larangan penghantaran sarung tangan buatan Malaysia ke AS yang berpanjangan, persaingan perniagaan yang lebih ketat dan gangguan terhadap operasinya,” jelas MIDF.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat