Harga Minyak Naik Semula Atas $100 Setong, Petanda Apakah Ini?

365

Minyak mentah tampaknya cuba memadamkan kerugian yang dicatatkan pada minggu ini, menyaksikan komoditi hitam itu terus memaparkan pemulihan di atas paras harga $100 setong menjelang hujung minggu.

Menuju pembukaan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat dan Brent menokok sekitar 2.3% dengan masing-masing didagangkan pada $106 setong dan $109 setong.

Walaupun bangkit semula, tetapi kedua-dua penanda aras berada di landasan untuk mengakhiri dagangan minggu ini dengan penurunan sekitar 3%. Harga telah jatuh daripada paras tertinggi 14 tahun yang dicapainya minggu lalu.

Pergerakan pasaran minyak ibarat ‘roller coaster’ pada minggu lepas, yang didorong oleh kekurangan bekalan akibat sekatan ke atas Rusia, ketidakpastian dalam rundingan nuklear Iran dan kebimbangan tentang lonjakan kes Covid-19 yang menjejaskan permintaan.

Mengikuti perkembangan isu geopolitik, pegawai perunding dari Ukraine dan Rusia terus mengadakan pertemuan untuk rundingan damai tetapi mengatakan kedudukan mereka kekal jauh ketika perang memasuki minggu keempat.

Kelembapan ini sedikit sebanyak memberi sokongan buat dagangan minyak mentah untuk mencatat pemulihan, ditambah dengan amaran yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sebelum ini.

IEA mengatakan terdapat kemungkinan berlaku kekurangan bekalan akibat sekatan terhadap minyak Rusia dan ini akan mendorong harga tenaga lebih tinggi.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat