Huawei Sah Jual Honor

295

Syarikat pengeluar telefon pintar terkemuka China, Huawei dilaporkan menjual unit telefon pintar iaitu Honor kepada Shenzhen Zhixin New Information Technology.

Shenzhen Zhixin New Information Technology merupakan syarikat baharu yang ditubuhkan untuk tujuan pembelian Honor.

Syarikat tersebut adalah konsortium yang terdiri daripada 30 ejen dan peniaga jenama Honor selain turut melibatkan Shenzhen Smart City Technology Development Group yang disokong oleh kerajaan China.

Menurut Huawei dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Honor terpaksa dijual kerana ‘ketiadaan elemen teknikal yang berterusan’.

Ujar Huawei, syarikat berkenaan tidak akan memegang sebarang saham atau terlibat dalam pengurusan syarikat baharu Honor.

“Langkah penjualan ini akan membantu saluran penjual dan pembekal Honor pada tempoh yang sukar ini.

“Di samping itu, langkah ini dilakukan oleh rantaian industri Honor bagi memastikan kelangsungannya,” kata Huawei lagi selain tidak menyatakan jumlah penjualan Honor.

Menurut Huawei, 70 juta unit telefon pintar Honor dijual setiap tahun di pasaran China, Asia Tenggara dan Eropah.

Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan bekalan peralatan teknologi terhadap Huawei ekoran dakwaan syarikat itu mengancam keselamatan nasional namun sering dinafikan oleh syarikat berkenaan.

Sebelum ini, Jabatan Perdagangan AS mengarahkan syarikat semikonduktor asing untuk mendapatkan permit sebelum menjual cip kepada Huawei sekiranya ia dibangunkan atau dihasilkan oleh teknologi AS.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat