India Negara Asia Pertama Guna WhatsApp Pay

317

Facebook melancarkan perkhidmatan pembayaran bagi aplikasi WhatsApp di India hari ini, sekali gus menjadi negara Asia pertama yang menikmati kemudahan berkenaan.

Perkhidmatan itu bagaimanapun terpaksa menunggu selama lebih 2 tahun untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan India.

India merupakan pasaran yang terbesar buat WhatsApp dengan 400 juta orang menggunakan aplikasi berkenaan.

“Perkhidmatan pembayaran itu kini tersedia dalam 10 versi bahasa tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg menerusi kenyataan yang disiarkan dalam bentuk video.

WhatsApp memaklumkan telah bekerjasama dengan lima bank di India termasuklah State Bank of India dan Jio Payments Bank.

Menurut National Payments Corporation of India (NPCI) dalam satu kenyataannya semalam, WhatsApp pada peringkat awal ini akan melancarkan perkhidmatan tersebut kepada 20 juta pengguna.

Susulan pelancaran perkhidmatan itu, WhatsApp perlu bersaing dengan beberapa firma yang turut melancarkan perkhidmatan serupa di India iaitu Google, Walmart dan Alibaba.

Pada Jun lalu, WhatsApp melancarkan perkhidmatan tersebut di Brazil dan kini dalam perancangan memperluaskan perkhidmatan itu ke pasaran Indonesia dan Mexico.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat