Inflasi Malaysia pada 2023 mencatatkan peningkatan lebih perlahan sebanyak 2.5% daripada 3.3% pada 2022 dengan mata indeks pada 130.4 berbanding 127.2 pada sebelumnya.
Ketua Jabatan Perangkaan (DoSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan inflasi yang perlahan pada 2023 adalah seiring dengan penurunan dalam kebanyakan harga komoditi global, gangguan bekalan yang berkurangan, kawalan harga dan pemberian subsidi bagi barang terpilih.
Katanya lagi, inflasi bagi kumpulan utama pada 2023 menunjukkan peningkatan kecuali komunikasi yang kekurangan 3.0% serta peningkatan tertinggi direkodkan oleh restoran dan hotel pada 5.6%.
Ini diikuti dengan kumpulan makanan dan minuman (4.8%), barangan dan perkhidmatan (2.4%), perabot kelengkapan rumah dan penyelenggaran isi rumah (2.3%), kesihatan (2.2%), pendidikan (1.9%), perumahan air, elektrik, gas dan bahan api (1.7%), perkhidmatan rekreasi dan budaya (1.5%), pengangkutan (1.1%), minuman alkohol dan tembakau (0.6%) dan pakaian (0.3%).
Tambahnya lagi, kumpulan makanan dan minuman merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan isi rumah di Malaysia dengan sumbangan 29.5% daripada jumlah IHP Utama yang berkurangan kepada 4.8% berbanding 5.8% pada tahun sebelumnya.
Peningkatan perlahan kumpulan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan komponen makanan di rumah yang meningkat 3.5% berbanding 5.3% yang dicatatkan pada 2022.
Sementara itu, makanan di luar rumah meningkat pada 6.7% pada 2023 daripada 6.6% pada 2022.
Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata semua negeri mencatatkan kenaikan inflasi dengan lima negeri menunjukkan peningkatan melebihi paras inflasi negara sebanyak 2.5 peratus pada 2023.
Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.4%), Sarawak (3.1%), Selangor (2.9%), Perak (2.8%) dan Pahang (2.6%).
Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan inflasi terendah sebanyak 1.6%.