Ini Berita Saham Pada Permulaan Minggu

388

Dagangan di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada urus niaga pagi hari ini seiring dengan penutupan yang kukuh pada dagangan semalaman di Wall Street pada Jumaat lalu.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.93 mata kepada 1,602.35 daripada 1,601.42 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lalu.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 2.17 mata lebih tinggi pada 1,603.26 pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 319 berbalas 164 manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,450 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 381.73 bilion saham bernilai RM163.57 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen pasaran tempatan berkemungkinan dapat meningkatkan pergerakan positif sewaktu Jumaat lepas bersandarkan kepada prestasi di Wall Street, tetapi perkembangan politik yang berlanjutan akan mengehadkan potensi kenaikan di bursa tempatan.

Sementara itu, harga minyak mungkin bertambah baik di tengah-tengah kebimbangan mengenai halangan di perairan Terusan Suez yang berpotensi menyebabkan beberapa gangguan bekalan.

“Ini lebih-lebih lagi apabila peniaga pasaran akan memberi tumpuan kepada kadar harga penghantaran dalam waktu terdekat.

“Kami berpendapat kaunter minyak dan gas dapat menarik minat belian, sementara industri perkapalan mungkin lebih berhati-hati kerana pasaran akan mula membuat spekulasi mengenai kadar penghantaran yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat ini,” kata firma penyelidikan tersebut dalam nota catatannya hari ini.

Selain itu, firma berkenaan menambah peniaga juga akan berurus niaga di kaunter berkaitan vaksin memandangkan program vaksinasi Covid-19 berjalan lancar di dalam negara.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik dua sen kepada RM8.27 dan RM4.21, Petronas Chemicals meningkat enam sen kepada RM7.96, TNB menokok lapan sen kepada RM10.88, Hong Leong Bank tidak berubah pada RM18. 78, IHH Healthcare turun enam sen kepada RM5.35,CIMB jatuh satu sen kepada RM4.43 dan Top Glove turun empat sen kepada RM5.11.

Bagi kaunter aktif, Straits Inter Logistics naik tiga sen kepada 26.5 sen, Widad lebih tinggi 2.5 sen pada 16.5 sen, Eastern & Oriental meningkat tiga sen kepada 61.5 sen, Minda Global mengukuh 1.5 sen kepada 8.5 sen, Teladan Setia naik satu sen kepada 64 sen dan MMAG susut 1.5 sen kepada 34 sen.

Pada papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 24.01 mata kepada 11,802.3, FBM 70 menokok 54.75 mata kepada 15,605.21, FBMT 100 menambah 15.42 mata kepada 11,459.4, FBM ACE melonjak 31.32 mata kepada 10,549.43 dan FBM Emas Syariah naik 18.32 mata kepada 13,096.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 54.62 mata kepada 15,354.91, Indeks Perladangan lebih tinggi 5.79 mata kepada 7,106.24 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri bertambah 0.63 mata kepada 192.04.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat