Ini Berita Saham Tempatan Pada Permulaan Minggu

246

Bursa Malaysia dibuka rendah pada urus niaga pagi hari ini berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati, dengan aktiviti jualan kebanyakannya membabitkan kaunter berwajaran tinggi, didahului oleh Axiata dan Digi.

Pada pukul 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 4.01 mata kepada 1,608.24 berbanding 1,612.25 pada penutupan urus niaga petang Jumaat minggu lepas.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka lemah sebanyak 1.71 mata kepada 1,613.96.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 261 berbalas 233 sementara 1,051 kaunter tidak berubah, 612 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 953.78 juta saham bernilai RM458.18 juta.

Menurut seorang ‘trader’, Axiata dan Digi berada dalam mod jualan hari ini kerana keyakinan terhadap penggabungan antara kedua syarikat telekomunikasi itu telah mulai mereda.

Digi turun 18 sen kepada RM4.28 sementara Axiata menyusut 13 sen kepada RM3.98, sekali gus mengheret indeks komposit turun dengan gabungan 4.95 mata.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, sentimen pasaran akan tetap tidak menentu di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 walaupun program vaksin berterusan, ditambah dengan perkembangan gelombang baharu kes Covid-19 di beberapa negara, termasuk di Eropah dan Asia.

“Dengan gelombang baharu kes Covid-19 di negara-negara tertentu, kami berpendapat para pelabur mungkin akan kembali fokus kepada saham penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Menurutnya lagi, FBM KLCI mungkin meningkat lebih tinggi untuk minggu ini dengan tahap rintangan ditetapkan antara 1,615 dan 1,635 sementara tahap sokongan pula antara 1,565 dan 1,575.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.31, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.21 sementara Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.83.

Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing turun dua sen kepada RM10.22 dan RM5.28.

Bagi kaunter aktif, Lion Industries kekal pada 88 sen, Daya Material dan Luster Industries masing-masing menokok satu sen kepada 25 sen dan 26.5 sen, sementara Ucrest menambah 1.5 sen kepada 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 19.36 mata kepada 11,879.56, FBMT 100 turun 18.31 mata kepada 11,528.25, FBM Emas Syariah merosot 24.8 mata kepada 13,256.36 dan FBM ACE jatuh 38.48 mata kepada 9,957.06.

Bagaimanapun, FBM 70 naik 14.86 mata kepada 15,801.83.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.39 mata kepada 193.95, Indeks Perladangan naik 5.51 mata kepada
6,989.14 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 15.97 mata kepada 15,197.86.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat