Ini Berlaku Pada USD Setelah Menjunam Pada Awal Minggu

818

Dolar greenback kembali didagangkan stabil pada sesi Asia selepas mencatatkan penyusutan paling ketara dalam tempoh dua bulan pada pembukaan dagangan awal minggu.

Berbanding sekumpulan matawang utama, indeks dolar naik sedikit pada 93.03 setelah berundur dari paras ketinggian 9 setengah bulan yang dicapainya minggu lalu.

Aktiviti ekonomi di Amerika Syarikat kembali perlahan pada bulan Ogos, yang menyaksikan sektor pembuatan sedikit merosot kepada 61.2 daripada 63.4 yang dicatatkan sebelumnya, manakala kegiatan perniagaan juga turun kepada 55.2 daripada 59.9 pada Julai.

Pelabur kini lebih berwaspada menjelang ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell di persidangan simposium Jackson Hole pada hari Jumaat nanti yang akan menyaksikan beliau berbicara mengenai prospek ekonomi AS.

Berikutan spekulasi yang mengatakan Fed akan menangguhkan rancangan untuk mengurangkan pembelian bon disebabkan penularan varian delta yang semakin buruk, pasaran saham AS kembali didagangkan positif.

Ini turut mendorong matawang komoditi untuk meningkat, yang menyaksikan dolar Aussie dan loonie meningkat lebih 1% berbanding US dolar. New South Wales, Australia dilaporkan bakal mengumumkan untuk melonggarkan sekatan kepada rakyat yang telah divaksinasi sepenuhnya pada minggu ini.

Sementara itu, penyusutan US dolar turut memacu kebangkitan matawang euro dari paras terendah, selain turut disokong oleh bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah yang masih menunjukkan pengembangan walaupun sedikit perlahan.

Matawang pound juga meningkat, membawanya kembali didagangkan di atas harga 1.3700 berbanding US dolar. Bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan UK kurang memberangsangkan dengan pertumbuhan yang agak perlahan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat