Ini Kesan Pengumuman Tarif Trump Terhadap Pasaran Komoditi

649

Setelah rundingan dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlangsung selama dua hari di Shanghai berakhir, pelabur menjangkakan bakal ada perkembangan yang baik dilaporkan oleh kedua-dua pihak.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengejutkan pasaran apabila mengumumkan tarif tambahan akan dikenakan ke atas barangan import China yang bernilai $300 bilion dolar.

Pengumuman tersebut telah kembali meningkatkan risiko dalam dagangan semasa dan menjejaskan hampir kesemua pasaran termasuk pasaran kewangan, saham dan komoditi.

Memberi fokus terhadap pasaran minyak, harga minyak mentah mencatatkan kejatuhan harian terbesar sejak 2015 ekoran pengumuman tarif terbaru Trump tersebut.

Minyak mentah WTI yang diniagakan perlahan di sekitar paras $57.90 semalam kemudiannya telah menjunam ke paras terendah sejak Jun sekitar $53.60, mencatatkan sekitar 8% penurunan.

Manakala, minyak Brent pula turun dari paras ketinggian $64.50 ke paras terendah sejak Jun mencecah $60.00 namun menunjukkan sedikit peningkatan sejak awal sesi Asia bermula hari ini.

Sentimen pasaran yang berisiko menyokong kenaikan pada dagangan safe-haven Yen ekoran permintaan yang kembali meningkat terhadap aset berpulangan rendah yang lebih selamat. Sebaliknya, memberi kesan penurunan terhadap dagangan dolar AS yang sebelum ini disokong oleh keputusan mesyuarat FOMC yang kurang dovish berbanding jangkaan pasaran.

Kesan penurunan dolar AS tersebut dan juga pengaruh terhadap sentimen pasaran telah mendorong lonjakan pada harga emas semasa.

Setelah mengalami penurunan ke paras terendah dua minggu sekitar $1400.00, pengumuman tarif oleh Presiden Trump kemudiannya telah melonjakkan harga emas ke paras ketinggian mencecah $1449.00 sehingga awal sesi Asia hari ini dibuka.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat