Ini Kisah Inspirasi Usahawan Stokin Down Syndrome

277

John Cronin merupakan seorang pemuda berusia 22 tahun berasal dari New York, Amerika Syarikat. Uniknya, beliau ialah pengasas bersama sebuah perusahaan stokin terkemuka, John’s Crazy Socks sedangkan beliau tergolong dalam kalangan orang kelainan upaya!

Down Syndrome yang dihadapinya bukanlah satu penghalang untuknya mencapai kejayaan. Seperti figura hebat yang lain, Cronin juga memiliki kisah menarik di sebalik kejayaannya.

Ketika baru dilahirkan, keadaannya tidak seperti bayi normal yang lain sehingga terpaksa dibedah dua kali. Pembedahan pertama yang dihadapi olehnya ialah pada usia 2 hari untuk memperbaiki ususnya.

Sebelum usianya mencecah 3 bulan, beliau telah dibedah buat kali kedua kerana jantungnya berlubang.

Pada tahun 2016, Cronin mula merancang haluan kerjayanya memandangkan tahun tersebut ialah tahun terakhir persekolahan. Namun, beliau berhadapan dengan kesukaran kerana peluang pekerjaan untuk individu sepertinya adalah terhad. Di samping itu, Cronin turut mereka ‘awareness socks’ untuk mendapatkan dana bagi badan kebajikan merangkumi National Syndrome Society dan Autism Society of America.

Seterusnya, gara-gara terinspirasi dengan sebuah filem bertajuk ‘Chef’ yang memaparkan kisah tentang seorang anak dan bapanya yang menjalankan perusahaan ‘food truck’, ideanya untuk melibatkan diri dalam perusahaan yang sama tercetus.

Malangnya, beliau dan bapanya tidak tahu memasak. Tanpa kenal erti putus asa, mereka berdua terus mencari idea untuk merealisasikan sebuah perusahaan impian Cronin.

Akhirnya, mereka memutuskan untuk menjual stokin bersempena dengan World Down Syndrome Day yang akan disambut pada 21 Mac. Kebiasaannya, hari tersebut akan disambut dengan pemakaian stokin yang menarik dan berwarna-warni.

Oleh itu, Cronin telah mencari pembekal stokin yang bersesuaian dengan sambutan hari tersebut. Malangnya, beliau tidak berjaya untuk menjumpainya. Sehubungan dengan itu, beliau mula mereka stokin mengikut kreativitinya dengan menggunakan simbolik hati dan tarikh sambutan berkenaan iaitu, 3-21.

Pada peringkat awalnya, stokin tersebut dijual secara atas talian dengan menggunakan medium pemasaran di laman Facebook dan hanya berbekalkan modal sebanyak $2,000 dolar sahaja. Selain itu, mereka telah berjaya mendapat sebanyak 42 tempahan pada hari pertama penjualannya.

Setahun kemudian, John’s Crazy Socks berjaya memperoleh keuntungan sebanyak $1.4 juta, memperuntukkan $30,000 untuk badan kebajikan dan menghantar stokin kepada para pelanggannya termasuk Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Presiden Amerika Syarikat, George HW Buch pada ketika itu.

Perniagaan atas talian mereka mempunyai 1,400 pasang stokin yang berlainan jenis. Setiap pesanan akan dihantar pada hari yang sama bersama sebungkus gula-gula dan sekeping nota ‘terima kasih’. Di samping itu, Cronin sendiri akan menghantar pesanan tersebut kepada pelanggan yang tinggal berhampiran.

Sebagai seorang ahli perniagaan, Cronin turut melibatkan diri dalam aktiviti perdagangan, beliau akan berkomunikasi dengan pelanggan dan pembekal serta mengadakan pemambahbaikan seperti ‘Monday madness mystery bag’ dan penubuhan kelab ‘Sock of the month’ manakala bapanya akan menguruskan aspek teknikal dalam perniagaan.

Dalam tempoh lebih setahun, perusahaan berkenaan telah berjaya menghantar lebih daripada 30,000 pesanan stokin. Selain itu, sebanyak 5% keuntungan yang diperolehi akan disalurkan kepada Special Olympics iaitu acara sukan untuk golongan kelainan upaya.

Dengan misi untuk menyebarkan kegembiraan, Cronin cenderung untuk mengupah pekerja yang terdiri daripada golongan kelainan upaya. Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa individu sepertinya perlu diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat