Ini Penyebab Bursa Malaysia Pulih Semula

797

Bursa Malaysia berjaya pulih daripada kejatuhan tipis semalam untuk dibuka tinggi pagi ini, di celah-celah peningkatan harga minyak serta keyakinan baharu terhadap kemajuan vaksin untuk Covid-19.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.44 mata kepada 1,600.16 berbanding 1,598.72 ketika ditutup petang semalam.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 2.41 mata lebih tinggi pada 1,601.13.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 325 berbalas 149 manakala 342 kaunter tidak berubah, 1,318 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 486.44 juta unit bernilai RM171 juta.

Malacca Securities berpendapat trend pemulihan secara umumnya di pasaran domestik masih utuh kerana tumpuan masih kepada rentak pemulihan ekonomi.

“Perkembangan positif terhadap vaksin Covid-19 akan turut membantu kemajuan pemulihan.

“Sementara itu, saham berharga rendah dijangka meningkat, didorong oleh kecairan yang melimpah dengan pasaran ekuiti terus menjadi perhatian pelabur,” katanya dalam satu nota hari ini.

Mengikut sektor, segmen tenaga bersedia untuk mencatatkan pemulihan selepas harga minyak mentah meningkat di celah-celah penurunan yang tidak dijangkakan dalam inventori Amerika Syarikat menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) hari ini.

Sementara itu, sektor teknologi mungkin menarik tumpuan berikutan pengumuman bil peralatan semikonduktor yang lebih kukuh untuk suku ketiga.

Dilaporkan pembilan untuk peralatan semikonduktor global melonjak 30 peratus tahun ke tahun kepada AS$19.4 bilion dalam tempoh itu.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik 14 sen kepada RM18.08, Top Glove meningkat empat sen kepada RM6.72, sementara Hong Leong Bank dan Petronas Gas masing-masing menambah 14 sen kepada RM18.26 dan RM17.94.

Sementara itu, QL Resources dan Boilmerch telah memohon urus niaga masing-masing ditangguhkan mulai jam 9 pagi hari ini sementara menunggu pengumuman.

Antara saham paling cergas, Fintech Global meningkat 1.5 sen kepada 11.5 sen, Bioalpha menokok dua sen kepada 33 sen dan Dynaciate lebih tinggi sebanyak satu sen kepada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.1 mata kepada 11,577.62, Indeks FBMT 100 15.41 mata lebih baik pada 11,333.51 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 29.62 mata kepada 13,359.88.

FBM 70 mengukuh 40.57 mata kepada 15,010.31 dan FBM ACE naik 59.45 mata kepada 10,632.57.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 168,77, Indeks Perladangan menambah 2.026 mata kepada 7,341.38 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 8.63 mata kepada 14,286.95.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat