Ini Sentimen Pergerakan Matawang Terkini Di Sesi Eropah

450

US dolar menyusut lebih rendah sementara matawang komoditi menokok lebih tinggi ketika ketidakpastian mengenai pakej rangsangan fiskal AS terus membelenggu pasaran setelah Kongres AS meninggalkan perbincangan untuk bercuti selama satu bulan tanpa mencapai persetujuan.

Kelemahan data dan ketidakpastian menjelang keluaran laporan minit mesyuarat Federal Reserve (Fed) dan konvensyen pencalonan Parti Demokratik AS terus mempengaruhi sentimen dengan memperlihatkan pergerakan matawang yang terhad pada sesi Eropah.

Matawang komoditi, dolar Aussie meningkat untuk didagangkan mengukuh di sekitar harga 0.7183 berbanding US dolar walaupun setelah Amerika Syarikat dan China menangguhkan perbincangan mereka untuk menyemak semula perlaksanaan perjanjian perdagangan fasa 1 pada Sabtu.

Dolar Kanada juga menokok 0.2% lebih tinggi pada 1.3230 didorong oleh kenaikan harga minyak mentah ekoran pengumuman China yang akan meningkatkan pembelian komoditi hitam AS pada bulan Ogos dan September.

Walau bagaimanapun, tekanan risiko gelombang kedua Covid-19 di New Zealand dan kemungkinan perlaksanaan kadar faedah negatif oleh bank pusat telah menekan dolar kiwi untuk didagangkan lebih rendah berbanding matawang komoditi yang lain.

Di Eropah, matawang euro turut memanfaatkan kelemahan USD dengan diniagakan mengukuh di sekitar harga 1.1847 berbanding US dolar ketika Menteri Kewangan Jerman, Olaf Scholz mengusulkan cadangan untuk melanjutkan subsidi pekerjaan bernilai €10 bilion sehingga 24 bulan.

Sementara dagangan pound sterling pula kekal diperdagangkan stabil menjelang rundingan utama perdagangan Brexit antara UK dan Kesatuan Eropah (EU) yang akan disambung semula pada 18 Ogos.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat