Ini Yang Trader Perlu Tahu Tentang Pasaran Penghujung Minggu

814

Menjelang data tumpuan inflasi Amerika Syarikat (AS) pada hari ini (Jumaat), US dolar dilihat kembali paparkan pengukuhan pada dagangan sesi New York Khamis semalam selepas momentum lebih suram dipaparkan pada hari sebelumnya.

Indeks dolar meningkat menuju kenaikan mingguan untuk minggu ketujuh berturut-turut menjelang penerbitan data inflasi AS yang akan turut mempengaruhi keputusan Federal Reserve (Fed) dalam melaksanakan langkah pengetatan polisinya.

Turut diterbitkan bersama data inflasi adalah data keyakinan pengguna AS pada sesi New York sebentar lagi untuk pelabur menilai faktor tekanan harga.

Sementara menantikan mesyuarat polisi bagi bank-bank pusat utama termasuk Fed, Bank of England (BOE) dan Bank of Japan (BOJ) pada minggu hadapan, pelabur turut mengikuti perkembangan bagi laporan ancaman varian coronavirus Omicron.

Perkembangan semasa yang menilai risiko Omicron kembali reda telah memberi kelebihan terhadap mata wang berisiko dan berpulangan tinggi seperti dolar Aussie dan dolar New Zealand untuk catatkan prestasi cemerlang pada minggu ini.

Mata wang Euro yang berjaya mengukuh pada dagangan Rabu terhalang kenaikannya setelah kembali ditekan semula oleh pengukuhan US dolar menuju penghujung minggu.

Pound pula menerima tekanan dengan jangkaan bahawa kenaikan kadar berkemungkinan tidak akan dilaksanakan oleh bank pusat England dalam tempoh terdekat ekoran ketidaktentuan melanda yang dicetuskan oleh kebimbangan gelombang coronavirus Omicron di UK.

Kebimbangan tersebut telah mendorong Perdana Menteri Boris Johnson untuk mengumumkan ‘Plan B’ yang merupakan langkah sekatan pergerakan terbaru di UK membuatkan pelabur menilai pemulihan ekonomi akan kembali perlahan.

Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah catatkan penurunan pada Khamis berikutan kebimbangan terhadap ketidaktentuan di China yang merupakan antara pengguna terbesar minyak di dunia yang boleh memberi kesan terhadap permintaan.

Mata wang sensitif pasaran minyak, dolar Kanada terima tempias dengan memaparkan penyusutan nilai pada dagangan semasa.

Sementara pelabur emas masih gelisah memerhatikan pergerakan mendatar pada nilai logam kuning menuju penghujung minggu yang kekal berlegar di bawah paras $1,800 sementara isyarat lebih jelas dinantikan untuk sentimen pasaran semasa.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat