Inisiatif Meringankan Beban Rakyat

487

Industri insurans dan takaful sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneroka kaedah bagi mengurangkan perbelanjaan rawatan pesakit Covid-19 khususnya di hospital swasta.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama memberitahu secara amnya, risiko berkaitan pandemik tidak dilindungi di bawah mana-mana pelan insurans dan takaful di seluruh dunia.

“Pengecualian itu berpunca daripada kesukaran menetapkan harga untuk perlindungan berkaitan peristiwa seperti pandemik yang mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup termasuk impak dan kos yang tidak dapat diduga. Covid-19 adalah pandemik, oleh itu wabak itu tidak diinsuranskan atau dilindungi di bawah manfaat insurans dan takaful perubatan serta kesihatan.

“Bagaimanapun, sebagai tindak balas kepada keperluan segera negara semasa peringkat awal pandemik pada 2020, majoriti penginsurans hayat dan pengendali takaful telah menyediakan manfaat tambahan seperti pendapatan hospital harian yang akan dibayar kepada pemegang polisi/pemegang sijil yang terjejas,” kata persatuan itu seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambah kenyataan terbabit, industri itu menyokong perlindungan kepentingan pemegang polisi dan pemegang sijil selain menyumbang kepada kejayaan perkongsian swasta serta awam dalam memenangi perjuangan menentang pandemik itu.

Ujar kenyataan itu lagi, industri insurans dan takaful telah bertindak pantas dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai langkah bantuan bagi membantu pemegang polisi serta pemegang sijil menghadapi kesan kewangan daripada pandemik berkenaan.

Ini merangkumi penangguhan premium polisi dan caruman takaful yang telah memberi faedah kepada lebih sejuta pemegang polisi serta pemegang sijil membabitkan premium dan caruman bernilai lebih RM1.6 bilion.

Dana Ujian Covid-19 (CTF) sebanyak RM8 juta telah ditubuhkan pada Mac 2020 bagi membolehkan pemegang polisi insurans perubatan dan kesihatan menjalani ujian saringan Covid-19.

Selain itu, jelas kenyataan itu lagi, di samping usaha industri secara menyeluruh, syarikat insurans dan pengendali takaful secara individu juga telah melancarkan pelbagai skim untuk membantu pemegang polisi dan pemegang sijil.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat