Iraq Bakal Jadi ‘Medan Perang’?

1,605

Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang membuat persediaan untuk memanggil pulang diplomatnya dari Iraq namun langkah berkenaan dibimbangi akan mencetuskan peperangan di Iraq.

Lapor Reuters, sebarang langkah yang dilakukan oleh AS untuk mengurangkan kehadiran diplomatnya di Iraq dilihat sebagai kesan ketegangan melibatkan konfrontasi Washington dengan Iran.

Menurut Jabatan Negara AS, tindakan pengunduran itu dibuat selepas beberapa kumpulan disokong oleh Iran melancarkan roket terhadap kedutaan AS.

“Serangan itu bukan sahaja berbahaya kepada kami malahan juga kerajaan Iraq,” kata jabatan berkenaan menerusi satu kenyataan dikeluarkan.

Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini turut mengecam Tehran dan proksinya ketika kempen pilihan raya.

Rakyat Iraq bimbang sekiranya AS bertegas mahu memanggil pulang dutanya, kebarangkalian berlakunya tindakan ketenteraan oleh AS adalah tinggi dan Iraq bakal menjadi ‘medan perang’ tidak lama lagi.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengancam untuk menutup kedutaan mereka menerusi panggilan telefon kepada Presiden Iraq, Barham Salih. Perbualan tersebut dilaporkan oleh laman sesawang Iraq.

Dalam pada itu, ulama terkemuka Iraq, Moqtada al-Sadr menyeru agar kumpulan-kumpulan bersenjata di Iraq untuk tidak mencetuskan sebarang konfrontasi yang boleh menyebabkan Iraq bertukar menjadi medan perang.

Sementara itu, salah seorang diplomat Barat yang enggan didedahkan identitinya menjangkakan Washington akan bertindak balas terhadap serangan itu menerusi tindakan ketenteraan.

Ketegangan Iran dan AS semakin memuncak selepas Washington membunuh komander tentera Tehran, Qassem Soleimani pada Januari lalu menerusi serangan dron di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad. Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu terhadap pangkalan tentera AS di Iraq.

Sejak beberapa minggu lalu, serangan roket berdekatan bangunan kedutaan telah meningkat dan insiden letupan bom di tepi jalan yang disasarkan terhadap konvoi membawa senjata kepada pakatan ketenteraan diketuai AS.

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat