Iringi Wall Street, Bursa Berterusan Kecundang

117

Pada jam 9 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.91 mata pada 1,560.43 daripada penutupan hari Jumaat pada 1,564.34.

Indeks dibuka lemah 0.54 mata pada 1,563.80.

Bursa dilihat memulakan sesi dagangan pagi hari dalam kawasan merah selepas menjejaki penurunan pada Wall Street yang ditambah dengan prestasi lemah di pasaran serantau.

Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter rugi pada 341 mengatasi untung pada 126, manakala 261 kaunter pula tidak berubah, 1,517 tidak didagangkan dan 17 digantung.

Jumlah perolehan pada 437.16 juta unit bernilai RM160.19 juta.

Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menyatakan bahawa Wall Street ditutup rendah minggu lalu apabila sentimen kebimbangan menyelubungi pelabur yang gagal mencari asas tetap pada aktiviti pembelian.

Di bursa pula, KLCI menjangkakan aktiviti bargain-hunting muncul disebalik indeks yang berada di paras sokongan 1,565.

Sungguhpun begitu, indeks pada hari ini dijangka berada pada paras 1,560-1,575 dalam aliran dagangan tidak menentu.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) capai 3 sen pada RM9.03, Public Bank Bhd hilang 5 sen pada RM4.54, Petronas Chemicals Group Bhd (PetChem) susut 6 sen pada RM10.14 dan IHH Healthcare Bhd naik 2 sen pada RM6.48.

Saham aktif memperlihatkan Serba Dinamik Holdings Bhd kuncup 21.5 sen pada 13.5 sen dan Pertama Digital Bhd tambah 3 sen pada 93.5 sen sementara Hibiscus Petroleum Bhd dan Bumi Armada Bhd kekal pada RM1.40 dan 43 sen.

Di papan indeks, FBM ACE menyusut 46.06 mata pada 5,451.20, FBM 70 menurun 36.91 mata pada 13,349.16, indeks FBM Emas mengecut 31.32 mata pada 11,174.24, indeks FBMT 100 mengecil 27.80 mata pada 10,827.71 dan indeks FBM Emas Shariah merosot 34.64 mata pada 11,659.11.

Segi sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 17.28 mata pada 16,658.55, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan melemah 0.68 mata pada 203.42 dan indeks Perladangan merosot 78.11 mata pada 8,454.99.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat