Jadi Pilihan Rakyat Malaysia, Perodua Pecah Rekod Jualan Tertinggi

255

Penjualan kereta Perodua mencatatkan rekod paling tinggi sepanjang masa apabila sebanyak 26,852 unit berjaya terjual pada bulan lalu.

Perodua sebelum ini merekodkan penjualan bulanan tertinggi sebanyak 25,035 unit pada bulan September.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya juga membeli alat gantian kereta sebanyak RM600 juta daripada pembekal tempatan pada bulan lalu bagi menjana kesan pengganda ekonomi terhadap ekosistem automotif tempatan yang terkesan akibat Covid-19.

“Dari segi kapasiti pengeluaran, secara puratanya kami mencapai 98% pada Oktober dengan 26,362 kenderaan yang juga merupakan jumlah pengeluaran bulanan tertinggi kami setakat ini serta dihasilkan di fasiliti pembuatan kami di Sungai Choh.

“Pencapaian ini dicapai berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu diikuti oleh Perodua dan rakan kongsi kami. Ini termasuk bekerja dari rumah dan ujian saringan wajib bagi mereka yang berada di zon merah, selain SOP asal yang diperkenalkan pada bulan Mei.

Ujar Zainal Abidin lagi, komitmen pembekal dan peniaga sah Perodua telah memastikan penjualan yang lebih banyak serta yang lebih penting pelanggan berasa gembira kerana kenderaan mereka dihantar pada waktu yang terbaik.

Tambah kenyataan itu, Perodua menjual 8,052 Myvi; 6,738 Axia; 6,895 Bezza; 3,193 Aruz dan 1,974 Alza pada bulan lalu. Myvi, Axia dan Bezza kekal menjadi model terlarisnya tahun ini.

“Strategi kami untuk bergerak maju ke hadapan adalah meningkatkan penawaran nilai dan kualiti produk serta perkhidmatan kami untuk masyarakat Malaysia. Dari segi penyelenggaraan kenderaan, tidak perlu khuatir kerana kami mempunyai alat gantian yang mencukupi untuk memenuhi setiap keperluan anda kerana kebanyakannya dihasilkan dalam negara ini.

“Kami berusaha untuk mengekalkan momentum penjualan dan penghasilan untuk memastikan penghantaran kenderaan tetap tinggi dan pelanggan kami berpuas hati dengan semua produk dan perkhidmatan kami,” katanya.

Perodua ketika ini menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Aruz sepanjang bulan ini, sebagai tambahan kepada nilai pengecualian cukai semasa, tertakluk pada terma dan syarat.

Selain itu, Perodua juga menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan terpakainya sehingga akhir tahun di cawangan jualannya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat