Jaga-Jaga! Faktor Ini Bakal Jadi ‘Nanah’ Dalam Pasaran Minggu Ini

234

Pembukaan pasaran pada minggu keempat bagi bulan November ini masih perlahan di sesi Asia, menyambung rentak mendatar dagangan di penghujung minggu lalu.

Corak pergerakan perlahan pasaran berkemungkinan akan berterusan sehingga penghujung minggu menjelang sambutan ‘Thanksgiving Day’ dan bank-bank di Amerika akan ditutup.

Namun, situasi boleh berubah dan pasaran bakal menjadi rancak dengan tumpuan pada perkembangan di China yang boleh mendorong sentimen pasaran tambah berisiko.

Sebuah bandar metropolis di Guangzhou dilaporkan menerima arahan sekatan pergerakan selama 5 hari bermula hari ini. Bandar yang berkepadatan 19 juta penduduk kini menjadi lokasi terbaru pusat penularan wabak Covid-19 yang terburuk sejak pandemik melanda.

Bandar tersebut juga merupakan pusat tumpuan ekonomi untuk China selain menjadi lokasi hab pembuatan global.

Pihak berkuasa China kini pasti berada dalam dilema untuk melonggarkan sekatan setelah sebelum ini pihak kesihatan China juga telah memberi amaran untuk tidak berbuat demikian kerana ekonomi dalam keadaan tidak bersedia.

Justeru, faktor ini berkemungkinan boleh mencetuskan semula kebimbangan dalam pasaran dan menjadi pemacu untuk pengukuhan semula mata wang safe-haven US dolar selain mata wang pulangan tinggi seperti dolar Australia dan dolar New Zealand bakal tertekan.

Minit mesyuarat FOMC juga akan menjadi tumpuan pada minggu ini selepas pelabur telah menyaksikan penyusutan ketara US dolar pada minggu lalu walaupun Federal Reserve (Fed) telah meneruskan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas untuk kali keempat mesyuarat berturut-turut.

Selain itu, minit mesyuarat bank pusat Eropah (ECB) juga akan turut menjadi perhatian di penghujung minggu ketika pelabur masih menghadam kenyataan Presiden Christine Lagarde pada Jumaat lalu.

Lagarde masih mengeluarkan kenyataan bernada hawkish dengan memberi isyarat kenaikan kadar faedah perlu diteruskan untuk memastikan kadar inflasi berjaya diturunkan ke paras sasaran 2%.

Namun, penggubal polisi ECB yang lain ada menyatakan kebimbangan terhadap langkah tersebut dan berkemungkinan mencadangkan untuk pengetatan dasar diperlahankan.

Namun sebelum itu, mesyuarat polisi bank pusat New Zealand (RBNZ) akan menjadi tumpuan terlebih dahulu pada Rabu dengan jangkaan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas ke paras 4.25% pada mesyuarat terbaru.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat