Jangan Tawar Harga Sesuka Hati Sehingga Mencetuskan Perang Harga -Menteri

60

Hampir seminggu mekanisma harga siling digunakan bagi penetapan harga runcit bahan api di Malaysia, di mana menyaksikan kerajaan menurunkan harga sehingga 19 sen pada Khamis minggu lalu.

Dalam mekanisma terbaru ini, harga bahan api akan ditetapkan secara mingguan dan akan berkuatkuasa setiap hari Khamis pukul 12.01 tengah malam yang mengikut harga pasaran minyak mentah global.

Sebelum ini, rakyat Malaysia telah menjangkakan perang harga yang bakal berlaku apabila mekanisma terbaru ini dikuatkuasakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Sabtu mengatakan, sehingga tempoh tersebut belum ada seorang pun yang membuat permohonan bagi mengurangkan harga.

Selain itu, pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya tidak membuat tawaran harga bahan api sesuka hati sehingga mencetuskan perang harga. Katanya lagi, bagi menawarkan harga lebih rendah, mereka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari kementerian.

Bagi menjaga kebajikan pengguna, pengusaha juga dilarang membuat tawaran harga yang boleh mengelirukan. Tambah Hamzah, “Masyarakat memahami bahawa KPDNKK bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pengguna tidak tertipu dengan semua iklan yang mereka lakukan.”

Akhir sekali beliau menegaskan, tindakan tegas menanti pengusaha dan syarikat minyak yang tidak mengikut prosedur penetapan harga yang telah ditetapkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat