Jangkaan Penganalisis Menjelang Pengumuman OPR

357

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan hari ini, menjejaki prestasi positif dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.76 mata kepada 1,604.64 daripada 1,601.88 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks itu dibuka 4.67 mata lebih tinggi kepada 1,606.55.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 275 berbanding 233 manakala 332 kaunter tidak berubah, 1,265 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 564.22 juta unit bernilai RM333.19 juta.

Menurut Public Investment Bank, menerusi nota penyelidikan, saham AS ditutup tinggi semalam selepas calon Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen membuat kenyataan mengenai rangsangan fiskal berskala besar untuk mengurangkan kesan ekonomi akibat Covid-19 semasa pendengaran pengesahannya di Washington.

Indeks S&P 500 meningkat 0.8%, Dow Jones naik 0.38% dan Nasdaq menambah 1.5%.

Bagaimanapun, Malacca Securities menjelaskan pihaknya menjangkakan sentimen negatif berterusan bagi jangka terdekat susulan pelabur menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR) pada sebelah petang hari ini.

Ini memandangkan pengurangan OPR seterusnya boleh menyebabkan tekanan negatif ke atas saham perbankan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.11, Public Bank menambah 12 sen kepada RM21.02 sementara PetChem tidak berubah pada RM7.51.

Tenaga meningkat empat sen kepada RM10.04 dan Top Glove menokok lapan sen kepada RM6.21.

Bagi saham aktif, HPP melonjak 18 sen kepada 54 sen, Yong Tai naik setengah sen kepada 30 sen, sementara KTG dan Sapura Energy masing-masing tidak berubah pada 26.5 dan 12.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.25 mata kepada 11,601.77, Indeks FBMT 100 meningkat 19.0 mata kepada 11,329.26 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 27.47 mata pada 13,130.82.

FBM 70 menambah 23.24 mata kepada 14,864.09 dan FBM ACE susut 16.18 mata kepada 10,778.19.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 46.18 mata kepada 14,808.39, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.1 mata kepada 179.11 sementara Indeks Perladangan turun 17.65 mata kepada 7,271.78.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat