Jangkaan Pound Pada 2023

236

Gambaran untuk mata wang pound pada 2023 dijangka akan terus suram disebabkan risiko kemelesetan ekonomi yang meningkat.

Ini susulan krisis tenaga global yang dijangka berterusan akibat perang Rusia dan Ukraine, yang telah menyebabkan perniagaan dan isi rumah di seluruh Eropah menderita, termasuk di UK.

Bukan itu sahaja, malah inflasi yang masih tinggi juga turut merencatkan prospek untuk ekonomi UK pada tahun depan disebabkan krisis tenaga yang berlanjutan.

Dalam pada itu, isu pasca-Brexit pada dasarnya masih tidak selesai dan impaknya belum terlihat kerana Covid-19 dan perang di Ukraine mengalihkan tumpuan daripada ekonomi Britain dan kesan Brexit.

Untuk mendapatkan perspektif lebih jelas, pasaran perlu melihat kembali prestasi pound pada tahun 2022. GBP/USD membuka dagangan tahun ini di atas paras harga 1.35, tetapi pada hari terakhir dagangan ia berada pada sekitar harga 1.20.

Tanggal 26 September, terselit sejarah apabila mata wang itu terjun ke paras terendah sepanjang masa pada 1.0356 ekoran belanjawan mini oleh pentadbiran Liz Truss yang membawa kepada pengundurannya dari jawatan perdana menteri UK.

Ekoran itu, pentadbiran Perdana Menteri Rishi Sunak perlu memulihkan kepercayaan terhadap prospek kewangan awam dan berharap inflasi akan menurun tahun depan.

Namun begitu, tindakan oleh Bank of England (BOE) adalah paling penting untuk mata wang pound dalam mengembalikan kestabilan harga dalam pasaran walaupun terpaksa menanggung akibatnya dengan menghadapi kemelesetan.

Sehingga hari ini, BOE telah meningkatkan kadar sebanyak 340 mata asas dalam usaha menangani inflasi yang melambung tinggi dan langkah ini dijangka berterusan sehingga 2023.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat