Jepun Tarik Balik Pengisytiharan Darurat, Pakej $1.1 Trilion Pula Dilancarkan?

553

Jepun akan melancarkan pakej rangsangan ekonomi baru yang bernilai lebih daripada $1 trilion untuk memastikan isi rumah dan perniagaan tetap bertahan ketika menghadapi kemelesetan yang disebabkan pandemik coronavirus.

Menurut dokumen yang didedahkan oleh Bloomberg, pakej bernilai ¥117 trilion ($1.1 trilion) itu merangkumi sejumlah jaminan pinjaman dan sumbangan sektor swasta serta ¥31.9 trilion dalam perbelanjaan kerajaan yang akan dibayar dengan penerbitan bon baru.

Bantuan itu dimuktamadkan setelah data minggu lalu mengesahkan bahawa Jepun telah mengalami kemelesetan yang mendalam dan tinjauan menunjukkan sokongan terhadap kabinet Perdana Menteri Shinzo Abe jatuh mendadak kepada rekod terendah disebabkan pengendaliannya terhadap krisis COVID-19.

Pakej terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan Jepun untuk menangani kesan pandemik terhadap ekonomi, meningkat kepada ¥234 trilion ($2.18 trilion), iaitu kira-kira 40% daripada GDP negara itu.

Dalam kenyataan bersama minggu lalu, kerajaan dan bank pusat telah berjanji untuk bekerjasama dengan lebih dekat untuk mendapatkan dana dalam usaha membantu perniagaan dan melindungi ekonomi daripada impak coronavirus.

Walaupun kerajaan telah menamatkan keadaan darurat di seluruh negara pada hari Isnin dan kes jangkitan baru juga berkurang, namun, prospek terhadap ekonomi Jepun kekal suram.

Penganalisis menjangkakan pertumbuhan ekonomi (GDP) akan menyusut lebih daripada 20% pada suku kedua tahun ini dan pemulihan juga akan perlahan berikutan dipengaruhi oleh eksport, pelancongan pelaburan perniagaan yang bergelut untuk pulih.

Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Gabenor Bank of Japan (BOJ), Haruhiko Kuroda pada Selasa, apabila beliau memberitahu bahawa ekonomi Jepun berkemungkinan akan kekal berada dalam keadaan teruk.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat