Jerman Berang Dengan Ancaman Trump Berhubung Sekatan Projek Nord Stream

529

Ancaman Presiden Donald Trump untuk mengganggu projek saluran paip Nord Stream 2 dengan mengenakan sekatan tambahan telah mencetuskan kemarahan Canselor Jerman Angela Merkel yang memberi amaran untuk bertindak balas.

Berikutan itu, pentadbiran Canselor Angela Merkel dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan tindakan dari Kesatuan Eropah (EU), menurut laporan Bloomberg News yang memetik kenyataan dua pegawai Jerman.

Walaupun Kesatuan itu tidak bersatu hati dalam isu projek Nord Stream tersebut, namun kerajaan Jerman percaya bahawa kesemua negara anggota EU perlu bertindak balas kepada campur tangan Amerika terhadap kepentingan tenaga Eropah.

Amerika Syarikat telah menekan Jerman untuk mengabaikan projek Nord Stream 2 dengan mendakwa ia akan meningkatkan kebergantungan negara terhadap Rusia, walaupun pada hakikatnya Berlin juga mempelbagaikan sumber bekalannya.

Malah, Trump mencadangkan supaya Jerman membeli gas asli cecair (LNG) Amerika atau Israel yang lebih mahal.

Pada awal Jun, Senat AS telah memperkenalkan satu rang undang-undang bipartisan yang akan meningkatkan sekatan ke atas Nord Stream 2, termasuk semua syarikat yang menyediakan kemudahan kepada projek tersebut.

Susulan daripada itu, pengerusi jawatankuasa tenaga parlimen Jerman, Klaus Ernst mendesak supaya kerajaan bersedia untuk mengambil langkah tindak balas.

Nord Stream 2 merupakan projek tambahan daripada projek pertama Nord Stream, sistem saluran paip gas asli yang dihubungkan dari Rusia ke Jerman.

Nord Stream merupakan usaha sama Jerman dengan Gazprom Rusia dan lima lagi syarikat Eropah lain. Tindakan Amerika untuk mengenakan sekatan bagaimanapun, disokong oleh Poland, negara-negara Baltik dan Ukraine.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat