Jika Rakyat Malaysia Masih Berdegil, PKP Bakal Dilanjutkan Lagi!

905

Walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah genap 2 minggu, tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang berdegil serta tidak mahu duduk di rumah. Oleh yang demikian, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan denda sebanyak RM1,000 dan penjara 6 bulan.

Namun begitu, terdapat segelintir individu yang masih ingkar sehingga terpaksa ditangkap. Menurut sebuah laporan, terdapat 828 individu yang telah ditahan dalam rondaan dan sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Malangnya, mereka seolah-olah tidak cakna dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Bukan itu sahaja! Bahkan mereka memberikan alasan tidak masuk akal untuk keluar dari rumah. Tidak kurang juga yang masih berdegil malah keluar beriadah dengan melakukan aktiviti senaman atau jogging seperti tiada apa-apa yang berlaku dalam negara.

Akibat daripada kedegilan masyarakat sebegini, pihak kerajaan telah berhadapan dengan kesukaran untuk memutuskan rantaian penularan wabak pandemik yang telah meragut puluhan nyawa di Malaysia dengan jumlah kes yang telah mencecah 2,626.

Justeru itu, pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak kerajaan seperti memperketatkan Perintah Kawal Pergerakan di beberapa kawasan zon merah yang mencatatkan kes positif yang tinggi, contohnya di Menara City One, Kuala Lumpur, Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor.

Di samping itu, kerajaan juga telah menetapkan waktu operasi bagi premis perniagaan yang terlibat dengan barang keperluan harian serta stesen minyak iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja menjelang fasa kedua PKP 1 April ini. Begitu juga dengan perkhidmatan penghantaran makanan yang mesti beroperasi pada waktu yang sama.

Inisiatif ini terpaksa diambil kerana kedegilan segelintir rakyat yang acuh tak acuh dengan arah kerajaan bagi menangani wabak pembunuh ini.

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia akan terus patuh dengan perintah yang dikeluarkan? Atau pihak kerajaan terpaksa melanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan dalam tempoh 2 minggu lagi?

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat