Jualan Runcit UK Bangkit Semula!

348

Jualan runcit UK kembali mencatat pertumbuhan pada bulan Januari selepas perbelanjaan pengguna kembali pulih dari kesan penularan Omicron.

Menurut data yang dikeluarkan Pejabat Statistik Negara (ONS) pada awal sesi Eropah, aktiviti jualan runcit UK melonjak sebanyak 1.9% pada bulan lepas setelah mengalami kejatuhan 3.7% sebelumnya.

Angka ini menunjukkan pertumbuhan terbesar pernah dicatatkan sejak April 2021 yang dicetuskan oleh penjualan kedai bukan makanan, iaitu barangan rumah dan elektrik.

Jualan runcit teras, tidak termasuk jualan bahan api automotif, berada pada 1.7% berbanding 1.2% yang dijangkakan dan meningkat dari penurunan 3.9% yang dicatatkan pada Disember.

Sementara pada asas tahunan, aktiviti jualan melonjak sebanyak 9.1% pada bulan Januari berbanding 8.7% yang dijangkakan dan kemerosotan 1.7% sebelum ini.

Secara meluas, sektor peruncitan UK dilihat agak berdaya tahan dalam menghadapi impak Covid-19, dengan jualan keseluruhannya sudah kembali melebihi tahap pra-pandemik yang disokong oleh aktiviti penjualan atas talian.

Susulan aktiviti ekonomi yang beransur pulih ini, mata wang pound mempamerkan reaksi positif diniagakan lebih tinggi pada sesi Eropah.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat