Kaunter Sarung Tangan Terus ‘Koyak’

562

Kaunter sarung tangan meneruskan momentum negatif hari ini berikutan para pelabur melepaskan pegangan saham mereka susulan peningkatan kadar vaksinasi Covid-19 di negara ini.

Pada pukul 10.16 pagi, tiga kaunter sarung tangan utama iaitu Hartalega Holdings Bhd, Top Glove Corp Bhd dan Supermax Corp bhd, kekal sebagai kaunter paling rugi dalam 30 kaunter FBM KLCI.

Hartalega, yang juga merupakan kaunter paling rugi di pasaran lebih luas, susut 15 sen kepada RM9.33; Supermax merosot 14 sen pada RM4.35 dan Top Glove menurun 8 sen kepada RM5.18.

Sementara itu, Kossan Rubber Industries Bhd menyusut 4 sen kepada RM4.11; Careplus Group Bhd menurun 11 sen kepada RM2.35; Confort Gloves Bhd merosot 2 sen kepada RM2.22 dan Rubberex Corp (M) Bhd diniagakan tidak berubah pada RM1.17.

Mengulas berhubung situasi tersebut, ketua penyelidikan MIDF iaitu Imran Yassin Md. Yusof mengatakan dengan pusingan kedua pendaftaran vaksin AstraZeneca yang bermula 26 Mei, para pelabur menjangkakan permintaan sarung tangan akan kembali normal mulai tahun hadapan.

“Bagaimanapun, kita harus tekankan bahawa jangkaan itu tidak menentu dan kita mungkin melihat pemulihan saham sarung tangan, sekiranya kes Covid-19 terus meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Malaysia semalam melaporkan 61 kematian baharu dan kes baharu sebanyak 6,509.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat